fbpx

K2

Ikan sepat ‘ijo’ resipi utama Kelulut Cafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAMRI menunjukkan aneka menu yang ditawarkan di Kelulut Cafe, Tanjung Karang.

MALAYSIA kaya dengan spesies ikan air tawar seperti patin, tilapia, kelah, tapah dan baung yang dihidangkan dengan pelbagai keenakan rasa dalam membangkitkan ‘nafsu makan’ penggemar ikan sungai dan tasik.

Kelebihan tekstur ikan air tawar ini juga menjadi fokus Kelulut Cafe di Tanjung Karang, Selangor apabila memilih ikan sepat sebagai sajian utama mereka.

Ikan sepat merupakan sejenis ikan air tawar daripada keluarga Osphronomidae yang menawarkan struktur daging lebih pejal dan tidak mudah hancur apabila digoreng.

Pemiliknya, Mohd. Zamri Kahar, 52, berkata, ikan tersebut menjadi cita rasa pilihan khususnya penduduk Tanjung Karang kerana faktor kelembutan dan kelazatannya.

Katanya, bagi membangkitkan aroma hidangan ketika disajikan, ikan tersebut kemudiannya diadun bersama resipi ibunya, Suparti Tahir, 72, iaitu sambal hijau atau disebut ijo bagi ‘menajamkan’ lagi rasa hidangan tersebut.

“Sajian paling sedap ialah makanan daripada ibu sendiri dan saya mengetengahkan sambal itu sebagai ‘senjata utama’ dalam memikat hati peminat ikan air tawar.

“Tambahan pula, ramai rakan yang pernah menikmati sambal tersebut mencadangkan supaya memasukkannya ke dalam menu utama restoran ini,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zamri, restoran yang beroperasi sejak tahun 2017 itu dan terletak berhampiran Balai Polis Tanjung Karang menerima sambutan menggalakkan dengan mencecah jualan 100 ekor ikan sehari.

 

 

IKAN sepat sambal hijau menjadi tarikan utama.

Kata bapa kepada empat anak itu, rahsianya adalah semua ikan sepat itu dibeli secara terus daripada pemancing dan nelayan darat setiap hari bagi memastikan kesegaran kepada pelanggan yang menikmati hidangan tersebut.

“Perkara penting diutamakan kami adalah tesktur ikan agar sentiasa segar dan manis isinya.

“Tambah lagi, tidak sukar untuk memasaknya kerana mampu disiapkan dalam tempoh lima hingga 10 minit bagi setiap pesanan yang ditempah pelanggan.

“Ini seterusnya membuatkan pelanggan tidak perlu menunggu lama ketika ‘bertandang’ ke restoran ini,” ujarnya.

Mohd. Zamri yang juga merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Unit Swasta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor itu menjelaskan, isterinya, Nazura Abdan, 51, menjadi tulang belakang dirinya apabila bertindak sebagai tukang masak utama.

Operasi Kelulut Cafe ini turut dibantu empat pekerja.

 

NASI goreng cendawan (kanan) dan nasi goreng kambing yang enak untuk dinikmati.

 

“Harga set menu sajian ikan sepat ijo itu bersama nasi adalah RM9 yang tidak membebankan pelanggan.

“Simbolik dengan nama restoran ini, kita turut menyediakan minuman berasaskan madu kelulut antaranya air lemon, air kelapa dan madu itu sendiri,” jelasnya.

Restoran itu juga menyediakan aneka masakan lain seperti nasi goreng kambing, cendawan kelulut, tempe goreng dan pelbagai jenis sup meliputi ayam, lembu dan kambing sebagai pilihan kepada para pelanggan.

Berpegang kepada konsep berkongsi rezeki, Mohd. Zamri turut menyediakan sewaan serendah RM6 sehari kepada mana-mana individu yang ingin berniaga di kawasan tersebut.

Katanya, ketika ini terdapat dua gerai masing-masing menjual sate berharga 40 sen sebatang dan burger di kawasan Kelulut Cafe sebagai makanan pilihan alternatif kepada pelanggan.

Ujarnya, operasi restoran tersebut sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Ahad.

Namun, pada masa ini Kelulut Cafe ditutup sementara dan dijangka dibuka kembali pada Selasa minggu depan dari pukul 5 petang hingga pukul 8 malam (waktu restoran-restoran dibenarkan beroperasi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI