PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh esok hingga 29 April turun sebanyak 85 sen kepada RM5.12 seliter, berbanding RM5.97 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, harga petrol RON97 tanpa subsidi pula menurun 25 sen dan dijual RM4.85 seliter, berbanding RM5.10 seliter.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 juga turun sebanyak 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung, petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu. Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding sebelum konflik,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurut kenyataan itu, disebabkan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah terbaik.
“Ini bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Jelasnya, walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.
“Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil.
“Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga. Dalam tempoh ini, rakyat diseru untuk terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi membantu memperkukuhkan kestabilan bekalan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














