fbpx

40 ekor kambing seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 40 ekor kambing seludup yang dirampas PGA Batalion 9 dalam serbuan di Kampung Kok Bedollah, Tumpat semalam.

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas sebanyak 40 ekor kambing yang diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di Kampung Kok Bedollah di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Superintendan Nor Azizan Yusoff berkata, lori tersebut ditahan pada pukul 9 malam dan jumlah rampasan kesemua kambing itu dianggarkan bernilai RM48,000.

Menurutnya, rampasan itu dijalankan selepas anggota PGA mengekori sebuah lori dari pangkalan haram Pisau Raut di sini sehingga ke sebuah kandang kambing di kampung tersebut.

“Kita telah menjalankan intipan selama setengah jam sebelum melihat sebuah lori masuk ke kawasan pangkalan haram itu.

“Sekumpulan lelaki dilihat sedang membawa masuk kambing ke dalam lori itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azizan memberitahu, apabila lori tersebut tiba di kawasan kandang, sepasukan anggota PGA telah bertindak menahan lori berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada bahagian belakang lori itu membawa kepada penemuan 40 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Susulan daripada itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang merupakan pemandu lori itu bagi membantu siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan kambing-kambing itu dibawa masuk secara haram untuk dijual di pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan,” ujarnya.

Nor Azizan berkata, semua kambing itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI