fbpx
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong (dua dari kiri) terpaksa akur muncul sebagai naib juara pada Terbuka Thailand di Bangkok minggu lalu.

V Shem tekad ulangi langkah ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMENANG pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertekad mengulangi pencapaian terbaik mereka untuk mara ke pentas final menjelang aksi Toyota Terbuka Thailand yang membuka tirai pada 19 hingga 24 Januari ini.

Beregu lelaki negara itu tampil cemerlang apabila mara ke pentas final Terbuka Thailand mi­nggu lalu, namun impian untuk melihat mereka menjulang kejuaraan tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan No. 7 dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

V Shem mengakui kekalahan tersebut memberi pengajaran berguna buat mereka selain motivasi terbaik menjelang aksi To­yota Terbuka Thailand nanti.

“Secara keseluruhan saya gembira kerana melangkah ke pentas final namun jika kita berdepan mereka sekali lagi kita perlu cepat menguasai perlawanan.

“Bagi saya ia merupakan permulaan terbaik bagi kami dan aksi di pentas final memberi kami keyakinan untuk tampil lebih baik menjelang perlawanan sete­rusnya. Saya harap kami mampu melangkah ke final sekali lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Hasil keputusan tersebut, pasangan negara membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak AS$35,000 (RM141,277) manakala juara membawa pulang AS$74,000 (RM299,737).

Kali terakhir V Shem-Wee Kiong mara ke final dalam kalendar dunia adalah pada kejohanan Korea Masters 2019 yang me­nyaksikan mereka tewas 19-21, 22-20, 19-21 kepada Yang-Chi Lin dalam perebutan gelaran juara.

Terbuka Thailand merupakan penampilan antarabangsa pertama buat kebanyakan pemain selepas kejohanan badminton dunia terhenti gara-gara pandemik Covid-19.

BERITA BERKAITAN