fbpx
GAMBAR HIASAN

Buang sampah dari tingkap kereta tak boleh dimaafkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO!

PERNAHKAH anda mengalami situasi ketika sedang memandu di jalan raya, tiba- tiba ternampak penumpang atau pemandu kereta di hadapan membuang sampah melalui tingkap kenderaan tanpa rasa bersalah?

Sikap seperti ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini. Buktinya, baru-baru ini tular satu klip video memaparkan sebuah kenderaan berhenti di tepi jambatan di satu lokasi di Kelantan, sebelum seorang wanita membuang bungkusan plastik ke dalam sungai dengan melontarnya melalui tingkap kenderaan itu.

Tindakan wanita itu dikecam netizen yang mengkritik perbuatannya sebagai tiada kesedaran sivik.

Tidak menunggu lama, Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik kenderaan terbabit.

Sebenarnya inilah mentaliti sebahagian rakyat yang kononnya mempunyai pendidikan dan bertamadun tetapi tidak mempunyai kesedaran sivik langsung.

Sampah seperti kulit buah, kertas tisu dan pembungkus makanan adalah antara bahan yang biasa dibuang ke luar tingkap kenderaan.

Mungkin mereka yang berbuat demikian berasakan ia adalah perkara kecil, tetapi secara tidak langsung menyumbang kepada pencemaran Bumi yang semakin hari semakin dihimpit pelbagai kekotoran termasuk bahan kimia dari kilang, karbon monoksida daripada asap kenderaan dan sebagainya.

Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa orang tetap melakukannya dan tidak bolehkah mereka memasukkan sampah ke dalam beg plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah ketika berhenti di kawasan disediakan di sepanjang jalan atau lebuh raya.

Mungkin bagi mereka yang sering melakukan perbuatan tidak bermoral itu beranggapan ia sesuatu yang normal. Mereka fikir jika tidak melakukannya, orang lain pasti membuat perkara serupa.

Tahukah mereka sikap tidak bertanggungjawab itu memberi kesan negatif bukan sahaja kepada alam sekitar, malahan kepada anak-anak yang pasti mengikut perbuatan ibu bapa mereka apabila dewasa nanti.

Ini kerana, terdapat kanak-kanak yang membuang sampah ke luar tingkap setelah mereka ‘diajar’ oleh orang tua mereka agar tidak menyimpan sampah di dalam kenderaan, tetapi mencampakkannya sahaja keluar.

Sikap ini akan berterusan sehingga mereka sendiri mempunyai anak-anak dan mewarisi tingkah laku sama.

Sampah ringan jika dibuang akan berterbangan dan terkena cermin hadapan kenderaan di belakang. Ini amat berbahaya, lebih-lebih lagi jika ‘mendarat’ pada muka penunggang motosikal.

Apabila pandangan terhalang, fokus pemanduan akan terjejas. Hanya disebabkan sekeping plastik ringan, nyawa orang lain mungkin melayang.

Jika ini terjadi, siapa yang harus dipersalahkan?

Bukankah Islam mengajar kebersihan itu sebahagian daripada iman? Jika demikian, di mana tahap keimanan mereka yang membaling sampah daripada kereta?

Jadilah warganegara yang lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah merata-rata.