fbpx

Maqis Johor rampas 320kg bunga kekwa kering bernilai RM17,664

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maqis Johor merampas 320kg bunga kekwa kering bernilai RM17,664 ketika pemeriksaan di KSAB, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk bunga kekwa kering dari Singapura yang dianggarkan bernilai RM17,664 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, hari ini.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, bunga kekwa kering seberat 320 kilogram (kg) itu diletakkan di dalam 40 kotak berasingan di dalam sebuah lori.

Katanya, bunga kekwa kering itu ditemui ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan lori import KSAB kira-kira pukul 4 petang.

“Bunga kekwa kering itu dipercayai dibawa masuk ke Malaysia untuk dijadikan pati air minuman dan ditahan untuk siasatan lanjut kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import Maqis dan sijil rawatan dari negara asal.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 34 tahun itu dilepaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Maqis komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI