fbpx

Bayaran one-off RM500 akan disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi menyegerakan proses pembayaran one-off RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan menerusi inisiatif Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) hari ini, mengumumkan bantuan itu bagi meringankan beban dihadapi golongan berkenaan.

Beliau berkata, kementerian menghargai komitmen kerajaan menerusi inisiatif berkenaan.

“Komitmen ini menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini, dapat terus dibantu,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, langkah itu sedikit sebanyak membolehkan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya meneruskan kelangsungan penjanaan ekonomi perniagaan dan mengekalkan tenaga kerja masing-masing.

Menerusi Permai, seramai 14,000 pemandu pelancong dan 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing menerima one-off RM500 dengan peruntukan keseluruhan RM66 juta.

Selain itu, kerajaan turut mengumunkan pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Pada masa sama, Geran Khas Prihatin Tambahan, atau GKP Tambahan yang diperluaskan ke tujuh negeri PKP akan memanfaatkan 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan bayaran RM1,000, manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

Kerajaan turut menyatakan komitmen membantu PKS di negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI