fbpx

Lupakan hasrat ke menara gading demi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurazliyana menyuap susu kepada Rohana yang menghidap kanser hidung ketika ditemui di Segamat baru-baru ini.

SEGAMAT – Seorang remaja sanggup melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran demi menjaga ibunya yang terlantar menderita melawan penyakit kanser pangkal hidung di Kampung Jawa di sini.

Nurazliyana Abdul Hamid, 18, berkata, ibunya, Rohana Rebut, 61, disahkan menghidap kanser hidung atau Nasopharyngeal Carcinoma tahap tiga pada Mac lalu.

Menurut Nurazliyana, pada peringkat awal ibunya hanya mengalami selsema biasa namun berlarutan sehingga lebih sebulan.

“Lebih sebulan ibu alami selsema, tiba-tiba darah menga­lir keluar dari hidung ibu, dia sendiri tidak sedar darah keluar sebab tiada rasa sakit langsung.

“Kami bawa ibu ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut sebelum doktor mengesahkan ibu hidap kanser pangkal hidung tahap tiga,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nurazliyana tinggal bersama ibu dan bapanya, Abdul Hamid Baba, 65 serta dua lagi adik-beradiknya berusia 13 dan 20 tahun di Jalan Tasek, Kampung Jawa, Segamat.

Lima lagi adik-beradiknya sudah berkeluarga dan tinggal berasingan di Segamat serta Pulau Pinang.

Menurut Nurazliyana, ibunya menerima rawatan kemoterapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan rawatan radio­ terapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebanyak 35 kali sejak April lalu.

Jelasnya, segala kos rawatan dan tambang ulang-alik ke hospital dari rumah ke Muar dan Johor Bahru adalah hasil titik peluh bapanya yang berpendapatan RM500 sebulan dengan bekerja mengambil upah membersihkan kebun penduduk kampung.

Nurazliyana hanya bekerja sebagai pembantu warung menjual kuih-muih dengan mengambil upah harian sebanyak RM30 bersebelahan Sekolah Agama Kampung Jawa bagi menampung pendapatan keluarganya.

“Selepas menjalani rawatan kemoterapi, ibu bertarung nyawa melawan tindak balas kesan sampingan rawatan itu yang menjadikannya muntah-muntah dan lemah.

“Ibu tidak dapat melakukan aktiviti harian dan kerap berasa letih. Dia hanya mampu minum susu menggunakan penyedut minuman,” katanya,

Ujar Nurazliyana, ibunya me­nerima bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan manakala permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat masih dalam proses kelulusan.

“Saya berharap jika ada pihak yang dapat memberi peluang pekerjaan. Saya juga mahu me­lanjutkan pelajaran ke menara gading supaya saya dapat menggunakan ilmu itu mendapat pekerjaan yang lebih baik dan berbakti kepada ayah dan ibu yang telah banyak berkorban untuk kami lapan beradik dari kami kecil,” katanya.

Orang ramai yang hendak memberi sumbangan boleh menghubungi Nurazliyana di talian 017-7464250 atau sumbangan terus ke akaun Bank Islam 01078020352667 (Rohana Rebut).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI