fbpx

Abdul Aziz dilantik KP JAKIM baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL AZIZ

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melantik Timbalan Ketua Pegarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim,) Datuk Abdul Aziz Jusoh sebagai Ketua Pengarah Jakim yang baharu.

Pelantikannya adalah bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas pemergian Ketua Pengarah terdahulu, allahyarham Datuk Paimuzi Yahya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Abdul Aziz dilantik berdasarkan pengalamannya berkhidmat di Jakim selama 34 tahun 5 bulan dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan wwam khususnya pentadbiran Hal Ehwal Islam.

Katanya, beliau memiliki integriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang sepanjang perkhidmatan dan diterima baik oleh rakan strategik utama Jakim dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan juga warga jabatan.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada tahun 2003.

“ Kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam bermula sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986,” jelasnya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Zulkifli berkata, jawatan penting yang pernah disandang Abdul Aziz adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tahun 2018 hingga 2020.

“Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada tahun 2017 hingga 2018 ; Pengarah Jakim Cawangan Sarawak ( 2013 hingga 2017), Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta; Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada tahun 2008 hingga 2009.

“Abdul Aziz juga pernah memegang jawatan selaku Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jakim (2005 hingga 2009) dan Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada tahun 1997,” katanya.

Katanya lagi, dengan kelayakan dan pengalaman luas dimilikinya dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam di Malaysia, Kerajaan yakin bahawa beliau mampu untuk menerajui Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam peringkat persekutuan.

“ Doa dan harapan Kerajaan agar pelantikan Ketua Pengarah baharu ini dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

“Mewakili pihak kerajaan saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keluarga allahyarham Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI