PUTRAJAYA – Meskipun sering dipandang dengan pelbagai persepsi disebabkan keadaan fizikalnya, anak kelahiran Kelantan ini berjaya melakar sejarah apabila muncul sebagai wanita orang kurang upaya (OKU) pertama dilantik menjawat jawatan tinggi perkhidmatan awam.
Lebih membanggakan, Nik Zalbiha Nik Mat, 59, bukan sahaja mampu memecah stereotaip terhadap golongan OKU, malah memikul amanah besar memimpin lebih 500 kakitangan dan pegawai selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara pada Jun tahun lalu.
Menurut Nik Zalbiha, perjalanan beliau menjawat jawatan utama dalam perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang mudah berikutan terpaksa ‘berperang’ dengan infrastruktur tidak mesra dan stigma masyarakat sejak muda.
Bagaimanapun, katanya, cabaran itu telah menjadi ‘guru’ terbaik buatnya untuk terus membuktikan keupayaan diri kepada kumpulan masyarakat tanpa perlu ubah fizikal semulajadi.
“Bagi saya, keterbatasan fizikal hanya persepsi, namun anugerah pemikiran dan semangat adalah kuasa luar biasa. Saya berdiri atas keyakinan bahawa kecerdasan intelektual ialah kunci untuk terus berjaya.
“Perjalanannya tidak mudah, saya telah berperang dengan infrastruktur yang tidak mesra dan stigma masyarakat tegas sejak usia muda.
“Hal itu mengajar saya jika mahu mengubah dunia, tidak perlu ubah fizikal, tetapi perlu buktikan kecemerlangan melalui tindakan dan visi,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Dalam Keselamatan Maklumat Universiti Teknologi Malaysia itu juga mahu buktikan bahawa golongan OKU mampu capai kejayaan meskipun berdepan pelbagai kesukaran pada permulaan kehidupan.
Katanya, sokongan keluarga termasuk ibu bapa menjadi sumber inspirasi untuk berjaya seterusnya terus melawan segala label yang diberikan lebih-lebih terhadap individu OKU.
“Jika diimbas, semasa zaman persekolahan sekitar tahun 70-an dan 80-an, sistem pendidikan kita masih tidak mesra OKU. Jadi, sebagai OKU fizikal, saya berdepan kehidupan harian yang disifatkan agak memenatkan,” kata Nik Zalbiha yang sudah 30 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.














