fbpx

Bot tunda dari Indonesia ditahan, berlabuh secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot tunda yang ditahan pasukan peronda Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan selepas dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara.

ALOR GAJAH – Sebuah bot tunda dari Indonesia ditahan selepas dipercayai berlabuh tanpa kebenaran dan menyebabkan kerosakan kabel di dasar laut di perairan Tanjung Bidara di sini semalam.

Bot tunda tersebut ditahan pasukan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan kira-kira pukul 5.30 petang di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika barat daya dari Tanjung Bidara.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot tunda tersebut mendapati terdapat lapan kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 55 tahun.

“Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kru bot gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bot tunda yang berdaftar di Indonesia itu juga disyaki telah menyebabkan kerosakan kabel dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, bot tersebut telah ditahan mengikut kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kes ini diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI