fbpx

Bekerja dari rumah bukan alasan bersantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mendedahkan terdapat penjawat awam yang bekerja dari rumah (BDR) keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, tindakan itu ternyata bertentangan de­ngan arahan yang mewajibkan semua pegawai terlibat berada di rumah masing-masing ketika BDR dijalankan.

“Terdapat isu yang ditimbulkan berkaitan penjawat awam yang bersikap sambil lewa dan menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya.

“Kes-kes sebegini menimbul­kan persoalan setakat mana ama­nahnya kita sebagai penja­wat awam walaupun hal ini bukan dikategorikan sebagai ra­suah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi yang di­­­siarkan secara virtual di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam semalam.

Mohd. Khairul mengingatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam supaya tidak mengambil kesempatan BDR sebagai peluang bersenang-senang, keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya kerana ia boleh memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam.

Katanya, ketirisan integriti dan amanah juga akan membawa kepada pelbagai isu lain yang memberi kesan terhadap peni­­lai­an pelanggan dan imej perkhidmatan awam itu sendiri.

“Sebagai contoh, pekerja yang kurang amanah, mungkin akan bekerja sambil lewa, tidak fokus dan berlengah-lengah menyiap­kan tugasan.

“Tugasan yang boleh siap dalam masa satu hari, mungkin akan mengambil masa beberapa hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Khai­rul juga mahu semua penjawat awam mengambil tahu perlakuan rakan-rakan di tempat kerja bagi mencegah kegiatan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Katanya, rasuah akan terus menjadi barah jika kegiatan itu tidak segera ditangani sehingga ia terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dalam melaksanakan tugas.

“Jika dahulu kegiatan ini dilihat hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, namun sekarang kita semua tidak boleh berdiam.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, kita patut sama-sama memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita,” ujarnya.

Kelmarin Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dilaporkan berkata, semua per­khidmatan kerajaan akan berope­rasi dengan kehadiran 30 peratus kumpulan pengurusan.

Kumpulan sokongan pula ditentukan ketua jabatan masing-masing sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPB) dari 13 hingga 26 Januari ini.

Mohd. Zuki berkata, sistem penggiliran dan BDR masih dite­ruskan mengikut keperluan de­ngan mengambil kira kebajikan penjawat awam.

PKP dilaksanakan di Pulau Pi­nang, Selangor, Wilayah Perseku­tuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKPP di Perlis serta Sarawak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI