fbpx

Peniaga jam tangan tiruan dicekup KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zikril Azan (kiri) memeriksa sebahagian daripada ratusan jam tangan berjenama disyaki tiruan dalam serbuan Ops Tiru di sebuah rumah di Taman Koperasi Polis, Gombak pagi tadi.

GOMBAK – Tindakan licik seorang lelaki menjual jam tangan berjenama berserta kad perakuan ketulenan yang disyaki palsu sejak tahun lalu akhirnya kecundang selepas diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor pagi tadi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan menerusi serbuan Ops Tiru di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Koperasi Polis di sini kira-kira pukul 11 pagi susulan maklumat awam yang diterima.

“Serbuan dilakukan susulan maklumat awam yang diterima serta hasil risikan selama dua minggu oleh pasukan operasi dan pemeriksaan yang dilakukan telah menemui kira-kira 500 utas jam tangan berjenama disyaki palsu disimpan di sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menjual jam tangan tiruan secara online dan turut menyediakan kad perakuan asli jam tersebut bagi meyakinkan bahawa jam dijualnya itu adalah tulen,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut Muhamad Zikril Azan, suspek mendakwa telah menjalankan perniagaan tersebut sejak tahun lalu dan hanya beroperasi secara online menerusi platform media sosial seperti Instagram dan Facebook.

“Suspek mendakwa mula berniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu iaitu sekitar Mac 2020 dan memperolehi barangan tersebut daripada orang tengah menerusi perkhidmatan kurier.

“Seutas jam tangan boleh dijual dengan harga RM60 hingga RM200 ringgit seutas bergantung kepada kualiti pembuatannya dan suspek mampu mengaut keuntungan mencecah puluhan ribu ringgit pada satu-satu masa,” jelas beliau.

Difahamkan, nilai keseluruhan rampasan operasi tersebut dianggarkan mencecah kira-kira RM100,000.

Tambah beliau, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan jika ia merupaka suatu pertubuhan perbadanan.

“Jika bukan pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Suspek kini ditahan untuk diambil keterangan dan akan dilepaskan dengan jaminan pihak polis,” tegas beliau.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI