fbpx

Meter perlu kering sebelum boleh sambung bekalan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon orang ramai yang terjejas akibat banjir supaya bersabar jika bekalan elektrik ke premis mereka masih belum dapat disambung walaupun selepas banjir surut.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, bekalan hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna telah kering dan dipastikan selamat.

Menurut beliau, terdapat keadaan air banjir telah surut di premis pengguna, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas.

“Keadaan ini tidak membenarkan TNB menyambung semula bekalan ke kawasan tersebut. Faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

“Bagi premis yang ditenggelami air, meter elektrik perlu dipastikan kering terlebih dahulu sebelum bekalan dapat disambung kerana ia boleh membahayakan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Baharin berkata, pengguna disaran memeriksa pendawaian dalam premis mereka selepas banjir surut dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Jelas beliau, pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air ekoran banjir mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kata beliau, fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika
perlu, manakala soket alir keluar yang telah ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih supaya selamat digunakan.

“Sekiranya pengguna ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir, sila hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI