fbpx

Didakwa minta, terima rasuah berhubung tender baja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrulzaman Jaafar (kanan) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat tahun lalu.

Tertuduh Shahrulzaman Jaafar, 43, yang kini merupakan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika kejadian merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan di kementerian itu didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada seorang individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Berjasa di sini sekitar bulan Februari tahun lalu.

Pertuduhan kedua, Shahrulzaman didakwa telah menerima suapan berjumlah RM85,000 daripada individu sama melalui sebuah akaun bank yang didaftarkan dengan nama SZA Niaga sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender kepada tiga syarikat sama di Maybank cawangan Taman Setiawangsa pada 30 Julai 2020.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Shahrulzaman didakwa telah menerima suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada seorang lagi individu lain sebagai upah bagi dirinya kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender sama kepada syarikat KIIK Resources Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37,478,572.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah hotel di Jalan Klang Lama pada 12 tengah hari, 17 Ogos tahun lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.

Tarikh 24 Februari ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI