fbpx

UMNO tidak jujur jalin kerjasama dengan Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Osman Sapian (dua dari kanan) menyampaikan bantuan pakaian sekolah dalam Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah Murid Kembali Ke Sekolah 2021 di Dewan Kempas, Johor Bahru hari ini. Foto: BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mendakwa pemimpin UMNO tidak jujur dalam perjuangan kerana mengharapkan kedudukan dan jawatan untuk melakukan sesuatu perkara.

Beliau yang juga merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam memberitahu, hal itu kerana majoriti pemimpin mereka yang lantang ketika ini adalah yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selain tidak mendapat kedudukan yang dimahukan.

Jelasnya, antara individu berkenaan termasuklah pemimpin UMNO yang pernah menjawat jawatan besar dalam kerajaan terdahulu.

“UMNO ini, pemimpin mereka ramai yang tidak jujur, bukan sahaja tidak jujur dengan Bersatu, tetapi juga dengan masyarakat.

“Jika hasratnya mahu membantu dan memberi manfaat kepada rakyat, mereka masih boleh berbuat demikian walaupun berada di luar kerajaan dan tidak memegang sebarang jawatan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Peralatan Murid Kembali Ke Sekolah di Dewan Raya Kempas, di sini hari ini.

Osman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas turut memberitahu, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang.

“Kita tidak terperanjat jika UMNO mahu berbuat demikian kerana perkara ini kita sudah nampak dari awal lagi kerana mereka bersama Bersatu hanya untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Bila jadi kerajaan dan mempunyai kedudukan, mereka jadikan ia sebagai platform untuk perkukuh kedudukan dengan meletakkan individu di jawatan berkepentingan sama ada di peringkat akar umbi seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis atau di peringkat lebih tinggi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI