fbpx

Penganggur samun stesen minyak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGANGGUR berjaya ditahan kurang tiga jam selepas menyamun sebuah stesen minyak di Kubang Lembu semalam.

JITRA – Seorang penganggur ditahan kurang tiga jam selepas melarikan wang tunai RM900 dalam kejadian samun sebuah stesen minyak di Kubang Lembu di sini semalam.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Telok dalam Mukim Binjal di sini kira-kira pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, suspek yang memakai penutup muka pergi ke stesen minyak tersebut dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 10.40 pagi.

“Suspek kemudian memasuki premis stesen minyak itu dan terus melompat ke kaunter sambil mengacukan pisau ke arah pekerja wanita berusia 33 tahun.

“Lelaki terbabit mengarahkan pekerja terbabit menyerahkan wang di kaunter premis,” katanya di sini hari ini.

Katanya, seorang lagi rakan sekerja mangsa yang menyedari kejadian menjerit meminta bantuan.

“Suspek sempat melarikan wang dari laci kaunter sebanyak RM900 sebelum melarikan diri.

“Dalam kejadian itu, suspek telah tertinggal pisau yang digunakan, dipercayai terkejut dengan perbuatan rakan mangsa menjerit meminta bantuan,” ujarnya.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berjaya memberkas suspek di sebuah rumah di Kampung Telok.

“Barang kes turut ditemui bersama suspek selain dia juga mengaku terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka di Changlun pada 5 Januari lalu,” katanya.

Tambahnya, pihaknya merampas motosikal jenis Honda Wave, pakaian digunakan, topi keledar serta wang tunai berjumlah RM750.

“Suspek yang positif dadah dan mempunyai rekod lampau kes ugutan jenayah dan dadah direman selama enam hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI