fbpx

Jalan rosak, berlubang bawa ‘bencana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan sebanyak 222 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya yang tidak sempurna terma­suk jalan berlubang dan rosak se­panjang tahun 2018 hingga 2020.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, berdasarkan statistik, daripada jumlah itu, 148 kes melibatkan kemalangan maut.

Menurutnya, mereka yang maut terdiri daripada penunggang motosikal sebanyak 116 orang, penumpang dan pemandu kenderaan seramai 26 orang dan lori pula enam orang.

“Sabak Bernam dan Klang adalah lokasi kerap berlaku kemalangan berikutan pembinaan jalan dan laluan kenderaan berat.

“Polis sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berwajib supaya melakukan pemeriksaan dan membaiki jalan-jalan yang rosak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK) di sini semalam.

Azman memberitahu, ba­gai­manapun, kemalangan jalan raya bukan hanya berpunca daripada faktor fizikal jalan, sebaliknya juga berlaku akibat kecuaian pengguna termasuk memandu melebihi had laju.

Katanya, insiden juga berlaku di kawasan bandar terutama melibatkan penunggang motosikal yang dilihat sering melanggar isyarat lampu merah.

“Jadi kita tidak boleh menyalahkan 100 peratus disebabkan faktor fizikal jalan sahaja.

“Contohnya di kawasan pembinaan telah diletakkan kon dan tanda amaran had laju supaya pengguna berwaspada dan memandu secara perlahan kerana keadaan jalan di lokasi itu yang tidak sempurna,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, kemalangan berbasikal menyumbang sebanyak 299 kes sepanjang tahun 2018 hingga 2020, namun hanya enam kes melibatkan aktiviti riadah.

“Secara keseluruhan, jumlah kes itu disebabkan masih ramai pendatang asing menunggang basikal ke tempat kerja mereka di negeri ini,” katanya.

Kosmo! pada 30 Disember tahun lalu melaporkan, beberapa pakar perundangan berkata, mana-mana individu yang terlibat kemalangan berikutan kecuaian pihak tertentu dalam menyelenggara dan membaiki kerosakan jalan raya boleh mengemukakan tuntutan ganti rugi serta memfailkan saman di mahkamah.

Tindakan itu boleh dibuat kepada pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kebarangkalian untuk menang adalah cerah jika mempunyai fakta kes yang kukuh seperti kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pihak lain.

Isu itu timbul apabila JKR Kuala Langat meminta maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang cedera pada kening dan hidung akibat terjatuh basikal selepas terlanggar lubang.

Kejadian berlaku ketika Khairy Jama­luddin sedang berbasikal berham­piran Kampung Sri Chee­ding, Banting, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI