fbpx

Banjir di Temerloh makin buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di Temerloh naik mendadak kepada lebih 6,100 orang pada pukul 5 petang tadi berbanding 3,800 orang lewat petang semalam.

Perkembangan tersebut meletakkan Temerloh kini sebagai daerah paling tinggi mencatatkan bilangan mangsa banjir di negeri ini, sekali gus mengatasi Maran yang merekodkan 4,212 mangsa.

Pertambahan sebanyak 60 peratus itu didorong keadaan air Sungai Pahang di daerah tersebut yang mengakibatkan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh turut digenangi air bah.

Turut terjejas teruk ialah seluruh kawasan sekitar stadium tersebut yang terletak berhampiran tebing Sungai Pahang serta kampung-kampung tradisional di laluan utama Jalan Temerloh-Bera.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan, sembilan daerah terlibat banjir di Pahang secara keseluruhannya hari ini mencatat lebih 22,900 mangsa.

Menurut sumber itu lagi, ia melibatkan lebih 6,220 keluarga yang kini ditempatkan di 280 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan data dikeluarkan petang tadi, Maran mencatat kedua tertinggi dengan 4,212 mangsa dan diikuti Kuantan (2,657 mangsa) serta Lipis (2,528 mangsa).

Sementara itu, Jerantut merekodkan 2,283 mangsa, manakala Raub 1,964 orang, Pekan (1,208 mangsa), Rompin (994 mangsa) dan Bera (864 mangsa).

Dalam perkembangan berkaitan, Sungai Jempol di Maran menunjukkan peningkatan konsisten yang kini pada bacaan 34.36 meter melepasi paras bahaya 31 meter.

Turut menunjukkan peningkatan ialah Sungai Pahang di Temerloh dengan bacaan 34.39 meter berbanding paras bahaya 33 meter. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI