fbpx

Stok 3 juta batang rokok putih seludup dirampas, lapan suspek ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot pancung yang disyaki membawa muatan rokok seludup yang ditahan di Timur Laut Pulau Perjudi, Negeri Sembilan hari ini.

ALOR GAJAH – Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan lebih 3 juta batang rokok putih yang dibawa masuk dari perairan Indonesia menggunakan sebuah bot pancung, hari ini.

Bot tanpa nombor yang membawa rokok putih pelbagai jenis itu ditahan pada pukul 12.35 tengah malam di kedudukan 0.6 Batu Nautika Timur Laut Pulau Perjudi, Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, serbuan itu hasil daripada aduan awam dan perkongsian maklumat risikan bersepadu di bawah Op Benteng, bot ronda Maritim Malaysia dan pasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (Op Merpati).

“Bertindak atas maklumat dan risikan, kita berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 305 kotak rokok putih mengandungi sejumlah 3. 05 juta batang rokok pelbagai jenama.

“Pada serbuan itu kita turut menahan seramai lapan orang suspek berumur lingkungan 25 hingga 68 tahun dengan tujuh daripada mereka merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi lelaki tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu enam daripada suspek ditahan menaiki bot pancung tersebut manakala dua lagi termasuk lelaki tempatan berusia 24 tahun terbabit dicekup ketika sedang menunggu ‘stok’ sampai di darat.

Ujarnya, hasil siasatan awal, kesemua rokok putih itu dipercayai dibawa masuk dari perairan Pulau Rupat dan Dumai di Indonesia untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dan Negeri Sembilan.

Haris berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas bot pancung terbabit dan tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan bagi kegiatan tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan tidak kurang RM800,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI