fbpx

Polis perlu pantas beri maklum balas kejadian bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAFIEN Mamat (kiri) menyampaikan bantuan berupa keperluan makanan kepada mangsa banjir di PPS SMK Tengku Indra Petra di Gua Musang hari ini.

GUA MUSANG – Ketua polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Kelantan perlu pantas memberi maklum balas tentang sesuatu kejadian bencana alam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, masyarakat ketika ini ingin mengetahui maklumat sahih dan cepat terutamanya berkaitan bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh.

Katanya, teknologi di hujung jari menyebabkan sesuatu kejadian bencana tular begitu cepat sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Sebagai contoh kejadian tanah runtuh di Lojing petang semalam telah dirakam pengguna jalan raya sehingga tular di media sosial sehingga menimbulkan suasana panik.

“IPD perlu meneliti perkara itu cepat-cepat serta memberi maklum balas pantas supaya orang ramai mendapat penjelasan yang tepat berhubung perkara terbabit.

“Kejadian seperti tanah runtuh di Lojing memberi impak yang cukup besar kepada pengguna kerana laluan penting untuk orang ramai ke Pahang, Kuala Lumpur dan negeri di utara seperti Perak dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (SMKTIP) di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Dalam kejadian tanah runtuh pukul 3.30 petang semalam, bongkah batu, kayu dan lumpur memenuhi laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing.

Akibat kejadian itu, berlaku aliran lumpur sepanjang dua kilometer telah menghalang laluan menyebabkan jalan berkenaan ditutup untuk semua kenderaan.

Sementara itu, Shafien berkata, Daerah Gua Musang telahmembuka tiga PPS untuk mangsa banjir iaitu di PPS SMKTIP, PPS Kampung Batu papan dan PPS Kampung Limau Kasturi membabitkan 78 keluarga.

Beliau juga mengingatkan penduduk di kawasan rendah supaya berwaspada bagi menghadapi banjir gelombang ketiga.

“Bagi daerah Gua Musang, banjir malam tadi merupakan gelombang pertama kerana hujan lebat melanda di kawasan rendah dan kampung pinggir sungai.

“Daerah lain seperti sekitar Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat perlu bersedia awal.

“Air di Gua Musang akan turun ke kawasan-kawasan itu. Jadi, masyarakat di daerah lain jangan mengambil mudah dan buat persiapan awal,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI