fbpx

Restoran dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

SIAPA yang tidak suka dengan pemandangan indah sungai yang airnya jernih dan tidak terlalu dalam selain boleh mandi, memancing serta menjala?

Tanyalah siapa sahaja mengenainya sama ada golongan dewasa, warga emas, remaja apatah lagi kanak-kanak. Sudah pasti semuanya begitu suka dan teruja untuk ‘bermain’ air sungai.

Begitulah yang dimanfaatkan seorang cef, Muhamad Yacob Ariffin, 36, apabila dia memiliki aset hartanah di tepi Sungai Dipang di Kampung Sahom, Lembah Sahom, Kampar, Perak yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Plaza Tol Gopeng.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Cef Acob pada awalnya hanya ingin menjadikan kawasan tepi sungai tersebut sebagai tempat kediaman mereka sekeluarga.

Bagaimanapun dia akhirnya mengubah lokasi tersebut sebagai suatu tarikan pelancongan apabila menjadikan kawasan seluas suku ekar itu sebagai kawasan makan dan riadah buat orang ramai.

BEGINILAH kawasan restoran ini dari arah udara.

Menurut Cef Acob yang juga pemilik dan pengusaha La’Cottage Cafe & Chalet, pengalamannya dalam bidang masakan dan pengurusan calet selama tujuh tahun membuatnya tidak mahu pandang ke belakang lagi untuk mengusahakan pelancongan di dalam air sungai itu.

“Restoran atau kafe berkonsepkan makan sambil berendam di dalam air ini bukanlah luar biasa di negara kita memandangkan ia telah pun wujud sebelum ini, namun tidak banyak pengusaha yang berani mengusahakannya.

“Saya dan keluarga sendiri suka dengan konsep sebegini yang membolehkan aktiviti riadah bersama keluarga dilakukan di dalam air sambil menikmati hidangan makanan yang juga dalam aliran sungai,” katanya kepada Panorama.

Tambah Cef Acob, mengambil inspirasi daripada pengusaha yang melakukan konsep sama di tempat lain, dia bersama isteri, Noradila Saffee, 36, membuat keputusan untuk menambah baik perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada orang ramai.

“Pengunjung yang datang ke La’Cottage Cafe & Chalet ini boleh datang awal ke kawasan kami bermula pukul 7 pagi dan boleh beriadah sepuas hati sehingga lewat malam.

“Mereka boleh membawa makanan sendiri untuk sarapan, namun perlu membeli pakej makan tengah hari yang bermula dengan harga RM150 untuk satu meja meliputi enam dewasa serta dua kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pengunjung perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya sehari sebelumnya bagi mengelakkan kawasan tersebut dipenuhi pengunjung lain.

“Kita menyediakan 80 meja iaitu 60 meja di dalam aliran air dan 20 meja di tepi sungai. Mereka boleh bermain air dari pagi hingga lewat malam kerana kita turut memasang lampu pada waktu malam.

“Berdasarkan testimoni pelanggan, harga bermula RM150 untuk makanan ala kampung merangkumi seekor ayam percik, daging kari batang pisang hutan, nasi daun teratai, ulam-ulaman, ikan kering, telur masin, bubur, buah dan minuman adalah sangat berbaloi memandangkan pengalaman makan di dalam sungai itu yang unik,” katanya.

PELBAGAI juadah disediakan untuk dinikmati pengunjung di atas meja
di kawasan sungai.

Menurutnya, pengunjung boleh menambah pelbagai hidangan lain seperti ikan sungai termasuk temoleh, patin, haruan dan tembakang selain arnab, namun perlu menempah awal untuk hidangan berkenaan.

Katanya, selain pengalaman bermain air, pihaknya juga bersedia untuk melayan permintaan pengunjung yang mahu mengadakan majlis seperti sambutan hari lahir, sambutan persaraan dan sebagainya.

Tidak putus semangat

Bercerita mengenai cabaran pertama yang dihadapi untuk mengusahakan kafe dan calet tersebut, Cef Acob berkata, idea berkenaan pada awalnya tidak mendapat sokongan selain hanya menerima pandangan negatif.

“Apabila saya melontarkan idea ini kepada keluarga dan kawan-kawan terdekat, mereka gelak dan ada yang meremehkannya.

“Bagaimanapun saya tidak putus semangat dan berbincang dengan isteri untuk menggunakan wang RM150,000 sebagai modal permulaan membina kawasan ini termasuk kafe dan calet,” katanya sambil tersenyum mengenangkan peristiwa tersebut.

Katanya, selepas dibuka pada Disember dua tahun lalu, kawasan itu mula dikenali dan dikunjungi orang ramai secara berperingkat, namun terpaksa menutup operasi pada pertengahan Mac lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sedikit sebanyak memang terkesan apabila perniagaan yang baru bermula dengan 18 pekerja ini terpaksa ditutup buat sementara waktu. Kami bangkit selepas PKP tamat dan mula dikunjungi ramai kembali bermula Jun lalu bahkan kita terpaksa menyediakan makanan sehingga 120 set sehari bagi memenuhi permintaan orang ramai,” katanya.

MEJA-MEJA makan restoran atau kafe ini diletakkan di dalam kawasan aliran sungai.

Ujarnya lagi, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan kembali, bilangan pengunjung menurun semula memandangkan La’Cottage sebahagian besarnya dikunjungi pengunjung dari luar Perak terutamanya dari selatan seperti Johor dan Kuala Lumpur serta Selangor.

Mengenai keselamatan pengunjung ketika beriadah dan makan di dalam sungai, Cef Acob menegaskan, perkara itu amat dititikberatkan oleh pihaknya.

“Keselamatan pengunjung amat penting bagi kami. Oleh sebab itu saya dan beberapa pekerja akan sentiasa berada bersama pengunjung di kawasan ini untuk memantau keadaan sungai,” katanya.
Cef Acob turut bersyukur dapat memberi peluang kepada penduduk Kampung Sahom untuk bersama-sama menyediakan perkhidmatan yang sesuai di air.

“Jika dilihat di sini penduduk kampung yang menyediakan perkhidmatan sewa pelampung, pancing selain membuka gerai untuk menjual baju renang, permainan kanak-kanak, aiskrim dam kerepek.

“Banyak lagi yang saya mahu penduduk kampung sediakan untuk memenuhi permintaan pengunjung termasuk menyediakan pakej sewa motosikal atau basikal untuk meronda kawasan kampung namun belum terlaksana lagi,” katanya.

Katanya, 18 pekerjanya juga sebahagiannya merupakan penduduk kampung daripada golongan susah dan asnaf yang betul-betul mahu bekerja.

ORANG ramai boleh bermandi-manda dan bermain air di sungai.

Sementara itu, seorang pengunjung, Wan Ain Najma Meor Shuhil, 21, berkata, dia memilih tempat tersebut memandangkan ia satu kelainan yang unik selain berlatarbelakangkan alam semula jadi.

“Kami memang suka aktiviti melibatkan alam semula jadi seperti sungai. Jadi apabila melihat pakej yang ditawarkan La’Cottage ini, kami sekeluarga membuat keputusan untuk menyambut hari lahir di sini.

“Ditambah pula semua sedikit tertekan akibat PKP sebelum ini, jadi kami ambil peluang untuk berjalan jauh sambil meredakan tekanan masing-masing,” katanya.

Pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin, Negeri Sembilan itu mengambil peluang membawa keluarganya dari Pantai Remis, Lumut untuk menyambut hari lahir bersama keluarga selain bersantai dan bermain air.

Dalam pada itu, seorang guru dari Jitra, Kedah, Hamidee Yusof, 41, berkata, dia datang ke situ dengan 20 ahli keluarga lain untuk melakukan aktiviti bersama.

“Anak-anaklah yang lebih teruja dan gembira bermain air dan mandi. Tapi mak ayahnya pun sama juga.

“Makanan di sini sedap dan pengalaman bersama keluarga itu yang penting,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI