GOPENG – Penduduk di sekitar pekan Gopeng meluahkan kebimbangan apabila kolam ternakan ikan berhampiran Jalan Tasik di sini dipercayai memberi makanan berupa bangkai haiwan kepada ikan-ikan tersebut.
Mohamad Nor Abdul Aziz, 39, berkata, perkara tersebut disedari salah seorang penduduk di kawasan tersebut pada Julai lalu apabila dia melihat beberapa objek terapung di permukaan kolam tersebut dan dimakan ikan ternakan ketika melalui jalan tersebut untuk berjumpa dengan Orang Asli.
“Menurutnya, ketika melihat kejadian tersebut, dia merasa pelik dan mengesyaki ia bukan makanan yang biasa diberikan kepada ikan ternakan dan percaya itu adalah bangkai haiwan.
“Aduan telah dibuat kepada Jabatan Perikanan. Pada awalnya tiada tindakan daripada pihak tersebut, namun selepas tiga bulan barulah pegawai jabatan berkenaan turun padang menyiasat perkara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sini semalam.
Turut hadir membuat tinjauan adalah wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerak Redah Amal.
Katanya, hasil siasatan jabatan kerajaan mendapati, warga asing yang bekerja di kolam tersebut mengakui ada memberikan bangkai babi dan ayam kepada ikan ternakan berkenaan.
Katanya, penduduk bimbang pengusaha kolam yang telah menjalankan operasi sejak beberapa tahun itu menjual ikan ternakannya di pasaran terbuka seperti di pasar raya, pasar basah dan restoran yang melibatkan umat Islam.
“Pengusaha kolam ternakan turut dipercayai melepaskan air kolam ke anak sungai yang airnya mengalir melalui taman-taman berhampiran sebelum masuk ke Sungai Gopeng.
“Air anak sungai yang asalnya jernih bertukar menjadi keruh selepas melalui kawasan ternakan kolam tersebut dan penduduk sering memancing, menjala dan mandi-manda di sungai berkenaan
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan lanjut melainkan hanya menasihati pengusaha kolam berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pihak jabatan tiada kuasa untuk mengambil apa-apa tindakan selagi Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Perak belum diwartakan,” katanya.