fbpx

Banjir Johor: 1,000 mangsa dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang meredah air banjir sedalam lima kaki dengan berpaut pada tali ketika menyelamatkan kanak-kanak dan seorang dewasa dalam kejadian banjir di Kampung Sentosa, Masai hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat secara mendadak mencecah 1,000 orang daripada 274 keluarga sehingga pukul 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 348 mangsa banjir yang direkodkan pada pukul 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, sembilan lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan jumlah PPS yang masih aktif adalah 14 tempat di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Kulai.

“Kesemua mangsa banjir yang dipindahkan itu datangnya daripada 18 buah kampung yang terjejas bencana banjir dan sebuah Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Sam Poh, di sini.

“Daerah Johor Bahru terjejas teruk akibat bencana banjir apabila seramai 690 mangsa daripada 189 keluarga dipindahkan ke enam PPS di daerah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, daerah Kota Tinggi merekodkan seramai 188 mangsa banjir daripada 53 keluarga diikuti Kulai dengan 99 mangsa daripada 25 keluarga dan Kluang membabitkan 23 mangsa daripada tujuh keluarga.

Bencana banjir itu menjejaskan penduduk di Kampung Laut Batu 10, Kampung Laut dan Lorong Aris Batu 8, Skudai; Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang; Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Sungai Tiram.

Turut terjejas ialah Kampung Yap Tau Sah, Kluang; Kampung Bukit Raja dan Kampung Lepau, Pengerang; Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah dan Kampung Sedili Kechil, Kota Tinggi serta Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat, Kulai.

“Punca banjir melanda negeri ini berpunca daripada hujan sederhana lebat yang berpanjangan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

“Sebuah laluan di Jalan Pengerang-Kota Tinggi terpaksa ditutup sementara setelah ditenggelami air akibat banjir,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI