SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 25,039 saman pada sepanjang tahun lepas atas pelbagai kesalahan.
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan, hasil pemeriksaan ke atas 19,763 kenderaan sebanyak 35,400 kesalahan telah berjaya dikesan.
Katanya, kategori pelesenan kenderaan merupakan penyumbang paling tinggi kesalahan diambil tindakan iaitu sebanyak 9,855 kes manakala pelesenan pemandu iaitu 9,107 kes.
“Kesalahan teknikal sebanyak 6,620 kes dan 3,364 kes untuk kesalahan lebih muatan,” katanya ketika sidang akhbar semasa Ops Ambang Tahun Baru 2021 di sini malam tadi.
Tambahnya, sebanyak 1,671 kesalahan dikesan melalui Unit Penguatkuasan Lebuhraya (UPLR) dan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) melibatkan tujuh kesalahan utama.
“Antara kesalahannya seperti gagal patuhi isyarat lampu merah (351) dan kesalahan melibatkan kenderaan memotong di garisan berkembar 199 kes.
Sementara itu, jelas Azrin, operasi yang sama turut dijalankan di Senawang dan Jempol malam tadi telah memeriksa kira-kira 677 kenderaan.
“Daripada jumlah itu 255 kenderaan telah diambil tindakan dan 405 kesalahan direkodkan.
“Mengikut pecahan kesalahan iaitu pelesenan pemandu 246 kesalahan, pelesenan kenderaan (101), teknikal (49) dan sembilan ain-lain kesalahan ,”ujarnya.
Selain JPJ, operasi itu turut disertai, 158 orang pegawai dan anggota daripada Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.-K! ONLINE














