fbpx

Berenang 13 kilometer selepas bot karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA bot karam dibawa dengan KM Amanah ke Tok Bali sebelum pemeriksaan kesihatan di Hospital Besut.

PASIR PUTEH – Empat orang nelayan bertarung nyawa dengan berenang sejauh 13 kilometer ke Pulau Perhentian dekat Besut, Terengganu selama 14 jam untuk menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak besar petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang, bot yang sarat dengan pukat dan hasil tangkapan itu dimasuki air laut selepas dipukul ombak besar setinggi empat meter.

Tekong bot berkenaan, Tuan Azhar Tengku Long, 47, berkata, dia bersama tiga lagi awak-awal, Norizan Yusof, 45, Mohd. Azri Mohd. Rasdi, 28, dan anaknya, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 17, tidak berpecah sewaktu jatuh ke dalam laut.

Katanya, bagaimanapun, seorang lagi awak-awak, Ashaari Leh, 45, ketika kejadian dilihat turut berenang ke arah pulau tersebut, namun dia kini masih belum dijumpai.

“Sebelum bot kami terbalik, keadaan hujan lebat di tengah laut. Keadaan itu menyebabkan angin dan ombak besar telah memukul bot kami.

“Kami semua memakai jaket keselamatan ketika kejadian dan tidak berpecah dengan berenang sambil melawan gelora laut. Kami berenang lebih 14 jam sebelum selamat mendarat di Pulau Perhentian pada pukul 4 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Keempat-empat mangsa tiba di Tok Bali pada pukul 1.30 petang tadi dengan Kapal Maritim (KM) Amanah.

Seorang daripada mangsa terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Besut kerana sesak nafas manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar di klinik sama.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI