MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo seolah-olah memberi isyarat kepada pengurusan tertinggi kelab supaya mengekalkan pengurus sementara, Michael Carrick dengan melantiknya secara tetap.
Ia berikutan kenyataan pemain berusia 21 tahun itu yang menyifatkan kehadiran Carrick sudah menyuntik semangat baharu dalam pasukan sehingga membantu United mengesahkan kemaraan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Mainoo berkata, semua pemain sangat menghormati pengurus yang pernah dilabelkan sebagai ‘jeneral’ tengah padang itu sehingga mereka sanggup untuk mengorbankan nyawa demi Carrick setiap kali turun beraksi.
“Beliau (Carrick) memainkan peranan yang sangat penting bagi membantu saya mendapatkan semula keyakinan untuk bermain. Bukan saya sahaja, malah semua pemain bermain dengan lebih yakin selepas kehadiran beliau.
“Apa yang boleh saya katakan adalah kami semua mahu ikut beliau dan berjuang untuknya. Sekiranya kami terpaksa mati demi beliau, kami sanggup dan ia sudah dibuktikan dalam beberapa perlawanan,” katanya.
Setakat ini, kedudukan Carrick dalam pasukan itu masih menjadi tanda tanya biarpun sudah membuktikan kemampuan dengan mengemudi United mencatat 10 kemenangan dalam 14 perlawanan selepas dibawa masuk menggantikan Ruben Amorim.
Selepas membawa United kembali ke kancah UCL, penyokong mula mendesak pemilik supaya melantik Carrick sebagai pengurus tetap, namun beberapa calon lain turut berada dalam radar, termasuk pengurus Bournemouth, Andoni Iraola. – AGENSI














