fbpx

FGVDV sasar pengeluaran susu segar sebanyak 30,000 liter sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Petaling Jaya – FGV Hol­dings Bhd. (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Dairy Farm Sdn. Bhd. (FGVDF) menyasarkan pengeluaran susu segar sebanyak 30,000 liter sehari dari ladang tenusu bersepadunya di Linggi, Negeri Sembilan menje­lang separuh pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penambahan kapasiti pengeluaran itu seiring dengan kerja naik taraf ladang tersebut yang hampir selesai melibatkan penambahbaikan in­frastruktur ladang, kawasan makanan ternakan serta tempat memerah susu dan bangsal lembu.

Menurut beliau, kerja menaik taraf bangsal anak lembu pula telah selesai sepenuhnya.
Jelasnya, FGVDF telah mene­rima penambahan 130 ekor lembu kacukan Jersey dan Friesian yang diimport dari Australia, menjadikan jumlah keseluruhan lembu tenusunya sebanyak 258 ekor.

“Dalam masa kurang daripada sembilan bulan sejak penubuhan projek berkenaan pada Mac 2020, jenama premiumnya, Bright Cow telah memproses lebih daripada 500,000 liter susu segar untuk penggunaan tempatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Haris menjelaskan, pengeluaran tersebut disumbangkan oleh susu segar yang dihasilkan di ladang tenusu Linggi milik FGV sendiri selain turut dibekalkan oleh ladang tenusu luar.

“Pengeluaran susu segar kami di Linggi akan menyaksikan pembukaan kilang susu segar baharu dengan kapasiti pemprosesan 30,000 liter sehari.

“Kami juga telah memasang ruang memerah susu automatik dan sistem rakaman susu ha­rian berasaskan awan untuk memastikan kualiti produk tenusu dan produktiviti ladang tenusu kami sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Projek baharu ini dijadualkan selesai menjelang suku pertama 2021,” ujarnya.

Selain itu, FGVDF menyatakan pihaknya terus melaksanakan proses peningkatan secara berterusan yang akan disiapkan dalam masa terdekat dengan pensijilan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Sistem Keselamatan Makanan 22000 (FSSC 22000).

Tambah beliau, beberapa formulasi, perisa dan pembungkusan baharu bagi produk Bright Cow juga sedang menjalani ujian produk dan ujian kestabilan sebelum ia dilancarkan pada bulan April 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI