TAMPIN – Sepasang suami isteri warga emas cedera selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Tampin-Gemas berhampiran Kampung Bukit Geduk, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 6.08 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, sebaik tiba di lokasi pada pukul 6.16 petang, terdapat kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki pasangan suami isteri usia 60-an dan juga lori 5 tan tanpa muatan.
“Terdapat seorang warga emas lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu. Kita mengambil masa kira-kira 10 minit bagi membawa mangsa keluar dari kenderaan yang remuk berkenaan.
“Isteri mangsa pula mengalami kecederaan ringan di kepala kerana terhantuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norfaizal berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jelai 4 dari Gemencheh.
“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pasukan paramedik untuk tindakan selanjutnya.- K!ONLINE














