fbpx

Penduduk risau aktiviti hisap dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Bukan setahun dua, tetapi masalah sosial termasuklah penagihan dadah dan hidu gam yang menghantui beberapa kawasan flat di sekitar Seremban telah berlarutan sejak lebih 20 tahun dan sehingga kini sukar ‘dibersihkan’.

Lebih membimbangkan apabila generasi muda seawal umur belasan tahun turut terjebak dengan najis dadah ekoran pe­ngaruh rakan dan keluarga.

Tinjauan Kosmo! ke Lobak mendapati, lokasi berkenaan didakwa penduduk sebagai kawasan hitam ekoran penyalahgunaan dadah dan kecurian yang sukar dibanteras biarpun banyak pe­nguatkuasaan dilakukan.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Lin, 40-an, me­nyatakan dalam tangkapan terbaharu, dua beranak telah dikesan positif dadah dan apa yang menyedihkan si anak baharu sahaja berusia 16 tahun.

“Ini yang kita (penduduk) risaukan, sama ada terdapat ‘runner’ atau ‘tokan’ di sini ataupun mereka dapatkan bekalan dari luar. Saya pernah nampak jual beli ini berlaku di tangga flat dan segera menghubungi pihak polis.

“Bukan setakat menagih, kes kecurian juga makin menjadi-jadi di sini, mungkin mereka gunakan hasil curi untuk membeli dadah,” katanya ketika ditemui di Lobak, dekat sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Lin membe­ritahu, generasi muda termasuk pelajar sekolah di penempatan berkenaan sudah ramai yang ‘terjerat’ dengan dadah dan itu menimbulkan rasa bimbangnya sebagai ibu bapa.

“Kalau mereka tidak dapat dadah, ada juga mengambil langkah mudah dan lebih murah bagi memenuhi rasa ketagihan dengan menghidu gam,” ujarnya.

Flat Jalan Templer di Seremban yang kini dikatakan telah bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah selepas banyak rondaan dan penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

Penduduk lain yang hanya ­ingin dikenali sebagai Zack, 30-an memberitahu, aktiviti penyalahgunaan dadah bukan sahaja di penempatannya dan Jalan Templer tetapi turut membelenggu kawasan flat di Senawang.

“Penduduk di sini bukan sahaja terpaksa berdepan dengan gejala penagihan tetapi perilaku penagih yang ada kalanya suka membuat bising sehingga menganggu jiran-jiran lain.

“Apabila mereka tengah khayal, bagi nasihat pun tidak berguna. Sebagai penduduk, kami risau nasib keluarga sekiranya mereka ini tidak dapat dikawal lagi,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penduduk flat di Jalan Templer me­ngakui aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan di situ membantu menangani aktiviti penyalahgunaan dadah yang le­bih 20 tahun dihadapi mereka.

“Sebagai orang tua dan membesar di lokasi ini lebih 50 tahun, sememangnya sangat berharap agar penempatan yang hanya memiliki satu atau dua bilik ini bebas dari dadah.

“Sedih bila melihat anak-anak muda terjebak dadah dan hanya merosakkan masa depan mereka sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Iskandar Turkee berkata, masalah penyalahgunaan dadah di kawasan bandar di negeri ini jauh lebih ketara berbanding di kawasan penempatan tanah rancangan seperti di Tampin dan Jempol.

“Kebanyakan kes penagihan dadah di kawasan bandar adalah membabitkan penempatan golongan berpendapatan rendah (B40) seperti di kawasan flat atau taman perumahan kos rendah.

“Banyak faktor menjadi punca kepada masalah ini antaranya pengaruh rakan, persekitaran yang kurang selesa dan juga ke­rapuhan institusi kekeluargaan sehingga anak-anak mencari keseronokan di luar rumah,” ­katanya.

Iskandar berkata, sehingga penghujung Oktober lalu, seba­nyak 2,471 orang kena pengawasan (OKP) direkodkan di negeri ini membabitkan sebanyak 813 OKP iaitu bersamaan 32.9 peratus dikenal pasti di daerah Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI