fbpx

Makam berusia lebih 400 tahun ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZRI melihat sebuah makam yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun yang ditemui di sebuah kampung di Chengkau, Rembau baru-baru ini.

REMBAU – Sebuah makam yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun ditemui di sebuah perkampungan di Chengkau, dekat sini baru-baru ini.

Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata, makam berkenaan terletak di halaman rumah penduduk dan kira-kira 100 meter dari Su­ngai Penajis yang dahulunya menjadi laluan pelabuhan.

Menurutnya, berdasarkan bentuk batu nisan Aceh yang ditemui berkenaan ia dipercayai milik seorang perempuan yang merupakan tokoh penting Kesultanan Aceh Darussalam.

“Buat masa ini, di daerah Rembau yang dahulunya merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan hebat sudah ditemui empat buah makam yang terdapat batu nisan Aceh di mana tiga lagi makam adalah Makam Raja Melewar, Makam Dato Bungkal dan Makam Tok Tua.

“Penemuan ini telah saya maklumkan kepada Jabatan Warisan Negara bagi tujuan kajian lanjut serta pemuliharaan agar warisan sejarah ini dapat terus dijaga serta diwarisi kepada generasi akan datang,” kata­nya ketika ditemui di Chengkau baru-baru ini.

Nazri berkata, kebanyakan batu nisan Aceh yang ditemui sudah tidak cukup ‘sifat’ dan pe­nemuan terbaharu itu masih lagi lengkap setelah dibersihkannya kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, ia ditemui hampir tertanam di halaman rumah penduduk yang mana di lokasi itu juga terdapat lebih 10 kubur dengan nisan batu megalit.

“Saya yang kebetulan melalui kawasan ini tergerak hati untuk membersihkan batu nisan yang hampir tertanam itu dan terkejut apabila mendapati ia batu nisan Aceh yang masih lengkap,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zaimah Said Ali, 70, berkata, keluarganya sudah menetap di perkampungan itu sejak 1920-an lagi, namun dia tidak mengetahui dengan jelas makam siapakah yang terletak di halaman rumah keluarganya itu.

“Ikut cerita arwah mak, ia milik seorang perempuan yang berasal daripada keturunan baik-baik. Malah, emak juga berkongsi sejarah bahawa penduduk di sini tidak pernah diganggu askar Jepun.

“Memang pada masa itu penduduk gerun dengan Jepun sehingga sanggup lari ke hutan. Tapi, di sini askar Jepun hanya lalu sahaja dan tidak mengganggu penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI