fbpx

Pekebun miliki senapang, peluru tanpa lesen dipenjara lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI Yaakub dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki senjata api jenis AK47 dan 142 butir peluru di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini FOTO: ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang pekebun dihukum penjara selama lima tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki senapang jenis AK47 dan 142 butir peluru tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Zulkifli Yaakub,50, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis AK47 tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai kira-kira pukul 3.10 pagi pada 13 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Zulkifli didakwa memiliki sebanyak 142 butir peluru tanpa kebenaran yang sah pada tarikh,masa dan lokasi yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwar Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulkifli dalam rayuannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana dia hanya menggunakan senjata api itu untuk menjaga kebunnya.

“Saya tiada niat lain. Senjata api itu hanya digunakan untuk menjaga kebun daripada gangguan haiwan liar.

“Selepas ini, isteri saya juga terpaksa menggadai barangan kemas untuk menyara anak-anak yang masih sekolah. Saya juga sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi,” katanya.

Abu Arsalnaa bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat terhadap tertuduh agar perbuatan tersebut memberi pengajaran kepada masyarakat kerana pemilikan senjata api itu boleh membawa kepada kesalahan jenayah dan kehilangan nyawa.

Ahmad Bazli menetapkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan bermula daripada tarikh Zulkifli ditangkap polis.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki selaras senapang jenis AK47 yang dipercayai digunakan untuk menjaga kebun mereka di Kuala Krai.

Suspek juga dipercayai pernah menggunakan senjata api tersebut untuk menembak mati dua ekor gajah liar yang mengganggu tanamannya seluas enam hektar dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati, suspek memperoleh senjata api itu secara percuma daripada seorang rakannya di Tanah Merah, lima tahun lalu dan kali terakhir dia menggunakannya adalah dua tahun lalu untuk menembak mati dua ekor gajah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI