fbpx

K2

Buru kelah hingga ke Kalimantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARZUADI menunjukkan ikan kelah yang berjaya dipancingnya.

WALAUPUN terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Kuala Lumpur menuju ke Kalimarau di Kalimantan, Indonesia, ia langsung tidak menghilangkan rasa keterujaan Marzuadi Mansor, 33, untuk melakukan aktiviti yang paling diminatinya di situ.

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memancing ikan kelah di kawasan hulu sungai di Kampung Long Gi yang terletak di daerah Berau, Kalimantan.

Biarpun ekspedisi memancing itu berlaku setahun lalu, namun ia kekal dalam ingatan Marzuadi.
Kunjungan Marzuadi yang berasal dari Baling, Kedah ke lokasi memancing itu ditemani oleh lima rakannya dari Malaysia dan seorang dari Brunei.

“Setelah tiba di kampung Long Gi, kami perlu menempuh perjalanan selama enam jam pula dengan menaiki bot menuju ke kawasan memancing. Sebaik tiba di kawasan memancing, tanpa melengahkan masa saya dan rakan lain terus memulakan pemburuan untuk mendapatkan ikan kelah,” katanya yang juga merupakan individu bertanggung jawab melakukan rebiu produk memancing jenama Devil Craft.

Menurutnya, kawasan sungai tersebut sememangnya menjadi lubuk kepada ikan spesies kelah dan sebarau.

Marzuadi menjelaskan, untuk memancing kelah di situ, dia dan pemancing lain menggunakan teknik casting.

 

PERJALANAN ke hulu sungai dengan menggunakan bot mengambil masa hampir enam jam.

 

Casting merupakan salah satu teknik dalam memancing. Melalui teknik ini, pemancing perlu melontar dan mengarau gewang atau umpan berulang kali bagi menghasilkan pergerakan.

Pergerakan itu akan menarik perhatian ikan untuk menyambar umpan yang dilekatkan pada joran.

“Teknik casting lebih sesuai digunakan bagi memburu ikan kelah di sini kerana keadaan sungainya. Apa yang lebih mengujakan apabila menggunakan teknik casting ini adalah ikan ini ‘makan di tangan’ iaitu kelah akan meragut umpan saat tali joran digarau,” jelasnya.

Sepanjang empat hari memancing di sana mereka berjaya menjinakkan 10 ekor kelah. Kelah paling berat berjaya dibawa naik ke darat adalah seberat 5 kilogram.
Dalam pada itu, Marzuadi berkata, habitat kelah di Kampung Long Gi adalah di sekitar tebing yang banyak pokok engkabang. Buah engkabang menjadi makanan ikan tersebut.

“Untuk menjinakkan kelah ini, kami menggunakan gewang jenis selaman dalam dan selaman sederhana.

“Warna gewang yang digunakan adalah warna merah hati yang sama seperti warna buah engkabang. Kelah amat tertarik dengan warna sedemikian. Selain itu gewang berwarna cerah juga sesuai untuk digunakan kerana dapat menarik perhatian ikan ini,” jelas Marzuadi.

 

PEMANCING dari Malaysia dan Brunei telah pergi ke Kalimantan, Indonesia untuk memancing kelah pada tahun lalu.

 

Selain kawasan tebing, banyak ikan kelah di situ juga mendiami kawasan dalam dan air yang tenang. Disebabkan itulah gewang jenis selaman dalam dan sederhana sesuai digunakan.

Marzuadi menjelaskan, untuk ke kawasan lubuk kelah itu mereka bergerak dengan menaiki bot.

“Satu bot muat untuk tiga orang. Setelah tiba di kawasan memancing enjin bot akan dimatikan dan ia akan hanyut mengikut arus air sungai. Pada waktu itu kami mula memancing ikan.

“Selain memancing dari atas bot, kami juga turun ke bahagian tebing bagi memancing kelah,” jelasnya.

Selain kelah, di sungai itu mereka turut memancing sebarau. Berbeza dengan kelah, habitat sebarau adalah di kawasan jeram yang mempunyai arus deras.

“Sebarau yang dipancing kami lepaskan kembali, begitu juga kelah. Kami hanya mengambil beberapa ekor sekadar untuk dimakan,” kata Marzuadi.

Marzuadi turut menyeru kaki-kaki pancing untuk pergi memburu kelah di Berau, Kalimantan. Katanya, ikan kelah di situ bersaiz besar berbanding dengan spesies yang sama di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI