fbpx

Danial Zaini nafi kontang idea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIAL ZAINI

NAMA pelawak dan pengacara Danial Zaini barangkali sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Jejaka berkulit hitam manis dan tinggi lampai itu awal-awal lagi sudah memberikan salam perkenalan tatkala menyertai pertandingan Lawak Solo terbitan Astro empat tahun lalu.

Benar bagai dikata, jika sudah rezeki pasti tidak ke mana.

Begitu jugalah yang dilalui Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27.

Masa dan tenaga yang dihabiskan berminggu-minggu menerusi program realiti tersebut akhirnya terbalas apabila dia dijulang sebagai juara, sekali gus membawa pulang habuan berupa wang tunai RM80,000.

Bermula dari situlah, nama dan kerjayanya sebagai pelawak terbina perlahan-lahan dalam usaha membawa diri ke peringkat lebih jauh.

DANIAL mula menempa nama dalam dunia hiburan sekitar 2016 setelah dinobatkan sebagai Juara Lawak Solo terbitan Astro.
– MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

“Tidak dinafikan kerjaya saya memang bermula sebagai pelawak.

“Hingga hari ini, rezeki yang saya perolehi pun hasil titik peluh sebagai pelawak.

“Boleh dikatakan, menjadi seorang pelawak bagaikan sudah sebati dalam diri dan itu sahajalah bakat yang saya ada,” katanya membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini.

Menyambung perbualan, anak jati kelahiran Bayan Baru, Pulau Pinang itu memberitahu, rezekinya semakin murah apabila menerima banyak peluang melibatkan diri dalam pelbagai cabang seni.

Bermacam bidang

Bukan setakat memainkan peranan sebagai pelawak dan pelakon yang kebiasaannya membawakan watak kelakar, Danial mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian secara suka-suka dan sekadar ingin mencuba.

Bermula dengan single bergenre catchy berjudul Siti Bilang Cuti ciptaan sepenuhnya komposer Harry Khalifah yang diluncurkan pada 2018, namanya semakin mencanak naik dari semasa ke semasa.

“Jujur diakui memegang gelaran sebagai Juara Lawak Solo bukan menjamin saya menjadi pelawak terhebat dalam negara.

“Apabila saya terkeluar dalam saingan Maharaja Lawak Mega setahun kemudian, perkara tersebut betul-betul buat saya hampir putus asa selain memberikan kesan mendalam dalam diri.

“Orang kenal saya sebagai insan yang hanya pandai buat lawak dan meniru suara orang lain menerusi video-video dubmash.

MENGAKUI jiwanya semakin kosong untuk meneruskan haluan seni sebagai pelawak, Danial tekad mevariasikan dan memperkembangkan bakatnya dalam pelbagai cabang seni lain.

“Sedangkan pada masa sama peluang dan ruang sebagai pelawak semakin hari semakin terhad,” ujarnya yang mengakui kadangkala bagaikan sudah tiada jiwa bergelar sebagai seorang pelawak.

Meneruskan cerita, Danial yang merupakan graduan penyiaran dan filem daripada Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMUC) mula merencana dan mevariasikan rentak perjalanan kariernya.

Tidak mahu statik dalam dunia komedi, dia mula memasuki gear kedua mencuba cabang lain seperti mengacara, berlakon filem dan drama.

“Alhamdulillah atas bakat yang dianugerahkan, saya turut mendapat tawaran sebagai penyampai radio di stesen Era FM bermula 2019 hinggalah sekarang.

“Kerjaya sebagai penyampai radio secara tidak langsung banyak membantu menaikkan nama saya dalam dunia hiburan,” katanya.

Dapat sambutan

Tutup kisah lawak, Danial kini giat mempromosikan single terbaharunya berjudul Ku Tak Rela yang telah berlegar dalam semua platfom digital awal bulan ini.

Ditebak mengenai lagu baharunya yang dikaitkan dengan kisah percintaan silam bersama kekasih lama, lelaki berzodiak Libra itu lantas menafikan perkara tersebut.

Jelasnya, biarpun menggunakan jalan cerita sebenar untuk muzik video lagu bergenre balada berkenaan, Danial sekadar berkongsi perasaan sedih kepada pendengar yang pernah melalui perkara sama sepertinya.

“Jujur, saya langsung tiada niat untuk ungkit kisah lama, apatah menujukan lagu itu kepada mana-mana individu.

“Saya kongsi dan cipta lagu itu secara umum untuk semua yang pernah mengalami pengalaman putus cinta.

“Itu perasaan yang saya pendam selama ini.

“Orang mungkin nampak saya berlawak dan sentiasa bahagia di atas pentas, tetapi mereka tidak tahu kesedihan yang saya lalui,” tuturnya sambil sesekali menggelengkan kepala.

Ujarnya juga, walaupun banyak pihak mengatakan dia sudah kontang idea dan sering menjadikan kisah putus cinta silam sebagai modal atau modus operandi, Danial tetap berpendirian tersendiri.

SINGLE terbaharu, Ku Tak Rela ciptaan Hadi Rumnan yang baharu sahaja dilancarkan mendapat sambutan hangat daripada pendengar apabila mendapat lebih dua juta tontonan dalam YouTube.

Jenama sendiri

Tidak hanya selesa dengan apa yang dilakukan sekarang, Danial turut melebarkan sayap dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dia bakal mempunyai jenama tersendiri.

Dia sibuk merancang memperkenalkan produk makanan sendiri seperti sos, mi segera dan biskut bawah label Kami Food Industries.

“Kini semuanya masih berada dalam tahap penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan boleh dikatakan 80 peratus berjalan lancar.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang awal tahun hadapan sudah mula beroperasi.

“Industri kini boleh dikatakan amat tenat. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk ada perniagaan sendiri dan tidak fokus terhadap kerja-kerja seni sahaja,” ujarnya yang turut merancang membuka syarikat produksi sendiri tahun hadapan.

DANIAL mengakui, semakin pudar keterujaan untuk terus menjadikan komedi sebagai fokus kariernya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI