fbpx

Saffiyah lincah di gelanggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFFIYAH

KETIKA kebanyakan remaja seusianya banyak menghabiskan masa dengan bermain gajet, gadis jelita kelahiran Kuala Lumpur yang menghiasi Pesona Ahad kali ini pula lebih selesa mendalami dunia persilatan.

Aini Saffiyah Ahmad Shukri, 20, menyifatkan seni bela diri Silat Gayung Fatani yang dipelajarinya adalah satu warisan seni indah yang patut dipertahankan lebih-lebih lagi dalam dunia penuh teknologi ketika ini.

Gadis yang mesra disapa Fiya ini turut mengakui, seni silat te­lah berjaya membentuk dirinya menjadi lebih berani dan fokus, sesuai dengan cita-citanya yang ingin menjadi ahli forensik suatu hari nanti.

Kepada Kosmo! Ahad, penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik di Ma­nagement And Science University (MSU) Shah Alam ini turut berkongsi lebih lanjut me­ngenai seni silat yang diceburi selain ciri-ciri lelaki idaman yang diinginkan.

Kosmo! Ahad: Sejak bila mula meminati seni silat?
Minat itu timbul sejak kecil selepas melihat dua abang saya mempelajarinya dan mula mendalami ilmu persilatan
ketika menuntut di MSU dengan me­nyertai Kelab Gayung Fatani Antarabangsa MSU.

Mengapa pilih seni bela diri silat?
Silat meliputi pelbagai cabang ilmu tradisi Melayu dan Nusantara termasuk jurus unik yang menggabungkan ‘bunga’ dan ‘buah pukul’. Selain mendidik pengamalnya agar lebih berdisiplin, seni ini juga dapat digunakan untuk mempertahankan diri.

SENI persilatan telah membentuk jati diri Fiya untuk menjadi wanita yang lebih berani.

Kelebihan yang diperoleh daripada seni silat?
Mampu mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang mungkin dianggap mustahil khususnya dalam ilmu tempur.

Kejohanan silat tertinggi yang pernah disertai?
Setakat ini, dua kejohanan iaitu Pendekar Seabad XI di Universiti Malaya (UM) dan Taming Sari 10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam kategori apa?
Saya bertanding dalam silat olahraga Kelas C dan Seni Tunggal Puteri.

Siapa idola persilatan?
Dua guru saya iaitu Mohd. Hai­rulnizam Ibrahim dan Dr. Aziwahija Yeop yang telah banyak mencurahkan ilmu silat selama ini.

Wanita sertai dunia persilatan?
Persepsi umum bahawa wa­nita adalah insan lemah perlu dikikis dan ini adalah benteng keselamatan diri dan menghindari sebarang gangguan yang tidak diduga.

Sebagai mahasiswa, apa kesukaran yang dihadapi ketika musim pandemik Covid-19?
Pembelajaran secara dalam talian yang tidak begitu terbuka antara pelajar dan pensyarah. Pelajar pelu harus memahami secara total sesuatu subjek.

Apa peluang kerja dalam bidang forensik?
Kemahirannya dapat diaplikasikan sebagai penyiasat forensik persendirian, pelaras kerugian, penggodam beretika.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Berilmu tinggi, rajin beribadah, matang, dan memiliki rupa paras yang menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI