fbpx

Dua lelaki curi elektrik lombong Bitcoin ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazuki (kiri) menunjukkan mesin yang digunakan untuk melakukan perlombongan Bitcoin di IPD Kerian hari ini yang dirampas melalui tiga serbuan semalam.

BAGAN SERAI – Curiga dengan penggunaan elektrik yang tinggi di tiga rumah kedai yang disewa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mengesan aktiviti curi bekalan elektrik yang digunakan untuk melombong mata wang digital Bitcoin di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, sindiket pelaburan jual beli mata wang digital itu dipercai menjalankan aktiviti tersebut sejak menyewa premis tersebut dua bulan lalu.

“Petugas TNB memaklumkan wujudnya aktiviti mencurigakan di premis terbabit kerana penggunaan elektrik yang tinggi dan melampaui had di tiga premis yang dilihat kosong.

“Susulan maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah melakukan serbuan terhadap tiga buah premis tersebut bermula pukul 10 pagi semalam,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian hari ini.

Tambah Mazuki, hasil serbuan menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti melombong mata wang digital di premis berkenaan.

“Terdapat sambungan elektrik secara haram disambungkan di dalam bangunan itu untuk digunakan bagi menjalankan operasi perlombongan Bitcoin.

“Dua lelaki tempatan berusia 23 dan 24 tahun didapati sedang sibuk menjalankan aktiviti perlombongan itu di premis di Bagan Serai ditahan manakala premis di Simpang Lima, Parit Buntar dan Semanggol pula kosong ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Katanya, polis merampas 413 unit mesin wang digital, modem WiFi (13), tiga kotak wayar internet dan sebuah komputer yang dianggarkan bernilai RM107,380.

“Semua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut.

“Semakan melalui rekod mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan proses permohonan reman akan dibuat pada hari ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan Seksyen 427 kerana melakukan khianat.

Menurut Mazuki, dianggarkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM160,000 akibat kecurian arus elektrik bagi aktiviti perlombongan wang digital di kawasan ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI