fbpx

NS sedia sambung perjanjian air dengan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN Harun ketika mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersedia untuk menyambung perjanjian membekalkan air bersih tambahan kepada kerajaan Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang dijangka tamat pada 31 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia sekiranya kerajaan negeri Melaka mahu melakukan penyambungan perjanjian tersebut.

“Kami memang sentiasa bersedia sebab kita sudah ada perjanjian dengan mereka. Kalau ada masalah di Melaka kita akan benarkan untuk penjualan air, bergantung kepada pihak Melaka.

“Kalau ada masalah kita boleh perbaharui kalau kerajaan Melaka inginkan lagi kita juga tiada masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menerusi perjanjian itu, Sains telah membekalkan 12 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu.

Menurut Aminuddin, bantuan bekalan air dari Negeri Sembilan ke Melaka dilaksanakan seperti dipersetujui melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negeri berkenaan dan ia berkuatkuasa bermula 19 Jun lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Menteri Besar berkata, status Covid-19 di negeri ini dilihat terkawal walaupun kes positif kadangkala mencatatkan peningkatan ketara.

“Kes Covid-19 di negeri ini apa yang berlaku adalah cukup terhad kepada kawasan perkilangan dan penjara cukup terkawal, kita sedia maklum mereka dikuarantin dan sedikit sahaja.

“Dalam keadaan sekarang kita tidak bimbang, patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. Orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI