fbpx

Ketukan misteri masih berterusan di Alor Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERATAN akhbar Kosmo! semalam.

ALOR GAJAH – Bunyi ketukan misteri yang sebelum ini dilaporkan berlaku di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini didakwa telah ‘berpindah’ ke dua kawasan taman perumahan berdekatan.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lekok, Isa Kassim, 61, berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di Taman Sri Aman mengenai gangguan ketukan pintu dialami mereka malam kelmarin.

Katanya, sebelum ini bunyi pintu diketuk itu mengganggu penduduk di Kampung Paya Rumput, termasuk di Kampung Lekok pada Rabu lalu, namun kejadian itu hanya berlaku sekali.

“Selepas diganggu, kami penduduk kampung di sini telah membuat bacaan Yassin di masjid dan Alhamdulillah perkara itu tidak berulang lagi.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) seorang penduduk dari Kampung Sri Aman yang terletak kira-kira dua kilometer dari sini memberitahu empat buah rumah di kawasan itu pula diganggu ketukan misteri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jelasnya, selain taman tersebut, dia turut mendapat maklumat Taman Thamby Chik Karim juga terletak dalam kawasan berdekatan mengalami gangguan sama.

“Gangguan ini seolah-olah te­lah berpindah ke dua kawasan taman perumahan berhampiran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebagai JPKK, pihaknya telah meminta bantuan 10 pemuda di Kampung Lekok membuat rondaan sehingga pukul 12 tengah malam untuk memantau keadaan penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superinten­dan Arshad Abu ketika dihubu­ngi memberitahu, setakat ini tiada laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh penduduk.

Kosmo! sebelum ini melapor­kan penduduk di empat kampung di Sabak Bernam, Sela­ngor dihantui misteri apabila mereka mendakwa diganggu dengan bunyi ketukan sebanyak tiga kali bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi sejak 18 November lalu.

Kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Alor Gajah, Melaka pada awal pagi Rabu lalu sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk.

Dalam pada itu, di Sabak Bernam, misteri ketukan tanpa salam yang menakutkan penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Batu 37 Darat, Kampung Batu 38, Kampung Te­ngah dan

Kampung Banting sejak 18 hari lalu telah berakhir.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terbaharu berhubung kes tersebut setakat ini.

“Isu ketuk itu sudah habis namun rondaan di kampung dan taman perumahan yang terlibat masih dijalankan pihak polis.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan berhubung kes tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak memperbesarkan lagi termasuk menokok tambah dengan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ketukan itu.

Sementara itu, Pengerusi Maj­lis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman memaklumkan keadaan telah aman dengan penduduk kini berasa lebih selamat.

“Saya sendiri terkejut apabila dilaporkan media bahawa ketukan tersebut kini telah beralih di Melaka dan berharap mereka bersabar dan membuat rondaan selain bacaan Yassin bagi memohon pertolongan daripada Allah,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI