fbpx

RM43,900 lesap akibat terpedaya tawaran pinjaman online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM43,900 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan di Facebook dalam kejadian di Machang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, siasatan mendapati, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an merupakan seorang peniaga.

Katanya, wanita itu berminat dengan tawaran pinjaman sebelum terus berhubung dengan suspek yang menyamar daripada syarikat pinjaman wang, melalui aplikasi WhatsApp selepas menekan pautan pinjaman itu di Facebook.

“Setelah berbincang, mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan pembayaran balik RM500 setiap bulan selama 10 tahun.

“Mangsa juga diminta menghantar gambar dokumen pengenalan diri, penyata akaun bank miliknya dan bayaran RM300 sebagai wang proses pinjaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ahmad Azizul, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM300 ke satu akaun bank milik individu secara dalam talian pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun katanya, suspek telah mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,010 ke satu akaun bank milik individu yang berbeza pada hari yang sama.

“Mangsa juga telah diminta berulang kali untuk membuat pelbagai pembayaran termasuk pembayaran proses keseimbangan.

“Menurut suspek, bayaran itu membolehkan mangsa menerima wang pinjaman yang dipohon bersama-sama wang yang telah dibayar sebelum ini dengan alasan syarikat pinjaman akan mendepositkan wang RM100,000 ke akaun banknya,” katanya.

Katanya, sehingga Isnin lalu, mangsa telah membuat lebih daripada 40 transaksi bayaran ke 15 akaun bank milik individu yang dianggarkan berjumlah RM43,900.

Ahmad Azizul menambah, mangsa hanya menyedari dia diperdaya selepas dia cuba meminjam wang sebanyak RM8,000 daripada bapa saudaranya untuk membuat pembayaran kepada suspek.

“Mangsa kemudian datang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI