fbpx

Alif Satar dah bebas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Artis versatil Alif Satar yang discaj daripada menjalani rawatan dan kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka pada 2 Disember lalu bersyukur selepas akhirnya bebas daripada Covid-19.

Lebih membuatkan penyanyi, pelakon dan pengacara itu lega apabila dia akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga yang telah terpisah selama hampir dua minggu.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakanNya.

“Sukacita saya ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hospital Melaka serta atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat saya sekeluarga, saya kini kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga tersayang,” ujar Alif dalam satu kenyataan kepada Kosmo!

Ujarnya lagi, selepas berjauhan dengan isteri dan anak-anak, dia yakin ramai yang tahu dan dapat rasakan betapa berat perasaan rindu.

“Jadi saya akan mengambil masa beberapa hari untuk meluangkan waktu bersama seluruh ahli keluarga sebelum kembali bekerja seperti biasa,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Jangan Nakal itu turut meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa semua yang terlibat di set penggambaran, rakan-rakan artis dan kru produksi Muzik-Muzik negatif daripada Covid-19.

Dalam pada itu, Alif turut menzahirkan rasa terima kasih kepada petugas kesihatan, barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buluh terutamanya yang menjaga diri dan keluarganya sebelum ini.

Difahamkan, Alif akan meluangkan masa bersama kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anaknya iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad Ali, setahun hari ini.

Terdahulu, Alif dalam satu kenyataannya dalam Instagram pada 22 November lalu memaklumkan bahawa dirinya positif Covid-19 ketika sedang menjalani penggambaran sebuah drama di Melaka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI