fbpx
Saiful Apek mendedahkan wujud segelintir pihak yang kurang senang dan mempersoalkan kelayakannya membuat perkongsian motivasi. Foto FIRDAUS JOHARI

Saya bagi kata semangat, ada yang kurang senang – Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aktif memberikan kata-kata semangat dalam aplikasi Threads, pelawak Saiful Apek mendedahkan wujud segelintir pihak yang kurang senang dan mempersoalkan kelayakannya membuat perkongsian motivasi.

Malah, Apek atau nama lengkapnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, memaklumkan ada pihak yang mengungkit masa silamnya.

“Ketika ini, ramai yang minta saya beri kata-kata semangat dalam media sosial. Saya agak risau juga, dalam pada saya nak menyampaikan kata-kata semangat, ada minoriti yang rasa kurang senang.

“Ada yang persoal ‘Kenapa nak dengar sangat cakap Apek? Dia pun tak berapa betul, tak tahu ke kisah silam dia?’

“Pada saya, tiada orang yang berkelakuan jahat, tiada masa hadapan. Tiada orang baik yang tiada kisah silam. Setiap manusia ada kebaikan dan kekurangan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem The Real Mamu, baru-baru ini.

Enggan melatah dengan komen-komen negatif tersebut, anggota kumpulan Senario itu menegaskan bahawa dia memilih untuk fokus kepada impak positif yang diterima oleh pengikutnya yang benar-benar terkesan dengan perkongsian tersebut.

“Dalam hidup ini, Allah berikan kita peluang dan pilihan.

“Jadi, saya pilih untuk terus berjuang dan menyampaikan kata-kata yang sebenarnya telah banyak buat orang terkesan.

“Biarlah kebaikan itu terkesan pada mereka untuk dijadikan iktibar dan pembakar semangat,” ujarnya.

Meskipun mengetahui tugas menyebarkan kata-kata semangat adalah pakar motivasi, Apek sedia menggalas tanggungjawab tersebut dengan acuan tersendiri.

“Selalunya ini kerja pakar motivasi dan pendakwah. Namun, saya tak keberatan untuk menggalas tanggungjawab ini.

“Saya selalu gunakan kaedah yang lebih mesra. Saya tak suka yang puitis dan buat orang penat berfikir.

“Mereka banyak minta saya kata-kata semangat yang mudah dan kelakar. Walaupun nampak mudah tapi ada makna tersirat,” ujarnya.

Sejak kebelakangan ini, Apek dilihat sangat konsisten menggunakan Threads sebagai medium utama untuk berkomunikasi secara dekat dengan peminat.

Malah, dia turut menjadi ‘kaunselor’ dalam Threads menerusi pesanan-pesanan membina kepada netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN