fbpx
FELIX membuka tirai jaringan untuk Atletico, namun mereka gagal meraih kemenangan selepas Bayern menyamakan kedudukan untuk perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 awal pagi semalam. – AFP

Serangan tumpul kecewakan Simeone

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menegaskan kegagalan memanfaatkan peluang terhidang menyebabkan pasukannya seri 1-1 menentang Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Wanda Metropolitano awal pagi semalam.

Atletico memerlukan kemenangan pada perlawanan tersebut bagi memastikan mereka layak lebih awal ke pusingan kedua, namun jentera serangan gagal menyudahkan peluang terhidang.

Meskipun mendahului perlawanan menerusi jaringan Joao Felix pada minit ke-26, namun pasukan pelawat berjaya me­nyamakan kedudukan pada peng­hujung perlawanan hasil sepakan penalti Thomas Muller.

“Saya akui jentera serangan kami agak tumpul pada perlawanan hari ini (semalam) walaupun banyak peluang dicipta. Sekarang kami perlu berdepan aksi sukar menentang Salzburg.

“Apabila mendahului dengan satu jaringan, anda tidak boleh rasa selesa kerana pasukan lawan boleh menyamakan kedudukan pada bila-bila masa. Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini,” ujar Simeone.

Pada perlawanan tersebut, Atletico turun tanpa kelibat Luis Suarez yang positif Covid-19, sementara Diego Costa masih belum pulih daripada kecederaan.

“Tidak adil untuk salahkan jentera serangan kerana Luis positif Covid-19 dan Diego mungkin perlu berehat lebih lama ke­rana cedera,” katanya. – AGENSI

BERITA BERKAITAN