fbpx

Kontrak Cheng Hoe lanjut dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE menyifatkan penyambungan kontraknya sehingga 2022 bersama skuad Harimau Malaya sebagai positif dan motivasi buat dirinya untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan.

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berazam untuk terus mencurahkan ideologi bola sepak moden buat ­pasukan Harimau Malaya selepas kontraknya dilanjutkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hingga penghujung 2022.

Kata Cheng Hoe, keputusan FAM untuk menyambung kontraknya bagi tempoh dua tahun lagi adalah perkara yang sangat positif, sekali gus menaikkan motivasi dalam usaha mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Saya sudah dapat surat tawaran daripada FAM yang bersetuju untuk menyambung kontrak saya yang sepatutnya ­berakhir pada penghujung bulan ini dengan lanjutan tempoh selama dua tahun.

“Keputusan itu memberikan kelegaan buat saya kerana sememangnya masih banyak tugasan yang belum saya selesaikan selepas semua aktiviti bola sepak antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan ditangguhkan.

“Apa yang pasti, tahun depan sudah tentu fokus utama akan diberikan pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala AFF Suzuki tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Setiusaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan badan induk bola sepak negara itu sepakat untuk menyambung kontrak Cheng Hoe kerana beliau telah me­nunjukkan prestasi yang bagus sepanjang tiga tahun membim­bing skuad Harimau Malaya.

“Kami sangat gembira apabila dapat menyambung kontrak Cheng Hoe untuk tempoh dua tahun lagi. Dia telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang bergelar ketua jurulatih dan harap momentum dapat diteruskan,” katanya.

Sebagai rekod, Cheng Hoe telah dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bermula tahun 2018 susulan keputusan pengendali import, Nelo Vingada mengambil keputusan untuk letak jawatan pada penghujung 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI