fbpx

Penduduk Kg. Jimah Lama minta MB, Ahli Parlimen selesaikan masalah banjir berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Othman menunjukkan Sungai Jimah yang sering melimpah hingga memasuki rumah penduduk sekiranya banjir kilat berlaku di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

PORT DICKSON – Resah dengan masalah banjir yang sering berlaku setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Jimah Lama dekat sini memohon campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka itu.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Othman Shamsudddin berkata, sejak sekian lama, masalah banjir terus berlaku di kampung tersebut yang didakwanya berpunca daripada projek pembangunan di kawasan sekitar Bandar Sri Sendayan.

Ujarnya lagi, banyak aduan telah dibuat namun keadaan masih sama berlaku dan setiap kali hujan lebat, penduduk kampung mulai risau dengan keselamatan diri dan rumah masing-masing.

“Inilah yang kami tidak sanggup kerana setiap kali hujan kami terima bencana banjir besar sehingga menyebabkan seluruh kampung terjejas. Saya minta pihak kerajaan memandang isu ini, Ahli Parlimen dan Menteri Besar perlu turun padang.

“Kami tidak mahu menanggung kerugian dan penduduk resah hingga tidak tidur malam setiap kali hujan lebat kerana khuatir tentang keselamatan keluarga dan menanggung kerugian apabila barangan rumah yang rosak setiap kali berlaku banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Menurut Othman, Kampung Jimah Lama mempunyai seramai 900 penduduk yang melibatkan 158 buah rumah.

Dalam pada itu, dia mendakwa, kewujudan projek-projek perumahan yang sedang rancak membangun berhampiran Kampung Jimah menyebabkan penduduk menerima tempias banjir kilat.

“Jika dahulu penduduk tidak gelisah sangat sekiranya pada musim hujan lebat namun, kini pembangunan projek perumahan yang berjalan di Bandar Sri Sendayan menyebabkan kawasan ini semakin rendah.

“Malah, pihak pemaju juga tidak memikirkan keselamatan penduduk kampung apabila mereka melakukan penarahan di kawasan berdekatan,” katanya lagi.

Othman turut menambah, projek tambatan dan mendalamkan sungai yang dilaksanakan juga dilihat kurang berhasil sehingga menyebabkan masalah banjir masih membelenggu penduduk.

Malah, menurutnya, penduduk di kawasan Jimah juga sering berhadapan pencemaran bau hasil limpahan air daripada sebuah syarikat pelupusan sehingga ke sungai kampung ini.

“Selain masalah banjir, kami juga sering menerima pencemaran bau sebanyak dua atau tiga kali seminggu daripada sebuah syarikat pelupusan di Bandar Sri Sendayan. Ada juga air yang melimpah hingga mengeluarkan bau yang kurang senang kepada penduduk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI