fbpx

33 anggota, pegawai polis seluruh Sabah positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani (dua dari kiri) ketika meninjau Kempen Derma Darah di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Seramai 33 anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh Sabah disahkan positif Covid-19 ketika ini.

Selain jumlah itu, terdapat seramai 232 lagi warga PDRM sedang menjalani arahan kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga selepas dibimbangi terdedah kepada wabak berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagaimanapun semua anggota dan pegawai yang berkenaan dalam keadaan stabil.

Katanya, statistik jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga PDRM sentiasa berubah dari semasa ke semasa malah pernah mencapai angka lebih 900 anggota dan pegawai yang dikuarantin.

“Begitu juga dengan anggota dan pegawai yang dijangkiti sebelum ini pernah mencecah seramai 72 orang. Tugasan polis sebagai barisan hadapan berpotensi besar mendedahkan warga PDRM kepada virus terbabit.

“Namun ia bukanlah alasan untuk melemahkan semangat pasukan polis untuk terus bertugas menjaga keamanan serta mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hazani menyatakan setakat ini hanya seorang anggota yang meninggal dunia ekoran dijangkiti Covid-19 iaitu membabitkan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pada bulan lalu.

Sementara itu, Hazani berkata, kes jenayah rompakan di laut menurun sejak akhir-akhir ini tetapi masih berlaku membabitkan beberapa kes yang berjaya diselesaikan.

“Sama seperti cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini namun ketangkasan pihak berkuasa dalam menjalankan Op Benteng berjaya mengawalnya dengan baik.

“Terdapat dua hingga tiga kes di laut namun kita berjaya menangkap suspek untuk kes di Semporna dan merampas sepucuk pistol yang digunakan dalam rompakan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga perairan Negeri Sabah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI