fbpx

Bilangan perkahwinan menurun tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA – Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada tahun lalu adalah sebanyak 203,821 menurun 1.2 peratus daripada 206,352 pada tahun sebelumnya, menurut laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020.

Laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia itu mendedahkan, bilangan perkahwinan Orang Islam pada tahun lalu adalah sebanyak 147,847 menurun 1.5 peratus berbanding 150,098 pada 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, selari dengan penurunan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki menurun daripada 61.1 kepada 60.3 bagi setiap 1,000 lelaki Islam berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin.

Beliau berkata, trend sama juga berlaku kepada pengantin perempuan dengan penurunan daripada 56.0 kepada 54.9 bagi setiap 1,000 perempuan Islam berumur 16 tahun ke atas yang belum berkahwin.

“Bilangan perkahwinan Orang Bukan Islam turut merekodkan penurunan 0.5 peratus daripada 56,254 (2018) kepada 55,974 (2019).

“Oleh itu, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki menurun daripada 34.8 kepada 34.6 bagi setiap 1,000 lelaki Bukan Islam berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin.

“Trend sama juga berlaku kepada pengantin perempuan, menurun daripada 32.9 kepada 32.5 bagi setiap 1,000 perempuan Bukan Islam berumur 16 tahun ke atas yang belum berkahwin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd. Uzir berkata, umur penengah bagi pengantin perempuan meningkat daripada 26 tahun pada 2018 kepada 27 tahun (2019) manakala umur pengantin lelaki kekal pada 28 tahun.

“Peningkatan umur penengah pengantin ini juga berkait rapat dengan purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama yang meningkat 0.1 tahun daripada 27.8 tahun (2018) kepada 27.9 tahun pada 2019,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI