fbpx
AB. GHANI mendedahkan bahawa dua penaja utama, CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga M musim 2021.

CIMB, AirAsia tarik diri sebagai penaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menerima tamparan hebat selepas dua penaja utama, CIMB dan AirAsia menyatakan hasrat mereka untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, MFL menghormati hasrat penaja-penaja berkenaan selain kekal komited dan positif dengan pe­rancangan yang telah disusun sebelum ini.

“AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak me­lanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga M musim 2021 dan masih menunggu surat rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.

“Pihak MFL menghargai sumbangan mereka kepada bola sepak negara sepanjang menjadi penaja tahun ini ketika kita semua berdepan detik sukar akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Ab. Ghani mengesahkan Telekom Malaysia (TM) kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga M musim depan termasuk syarikat minuman isotonik, F&N 100Plus.

Sementara itu, status Sho­pee selaku penaja masih berada dalam peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

“Saya berharap semua pihak khususnya penyokong-penyo­kong tidak panik di sebalik ketia­daan penaja-penaja ini kerana MFL tetap akan meneruskan Liga M seperti dirancang.

“MFL turut berada dalam fasa perbincangan dengan beberapa pihak yang menyatakan minat untuk menjadi penaja baharu,” katanya.

Saingan Liga M musim depan dijangka bermula pada 26 Februa­ri melibatkan Kedah menentang Johor Darul Ta’zim pada aksi Piala Sumbangsih.

BERITA BERKAITAN