fbpx
Tiga penyanyi yang juga komposer hebat, Naim Daniel, Hael Husaini dan Haqiem Rusli yang bergabung dalam lagu Lara.

3 vokal cemerlang Lara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAAT artikel ini disempurnakan, selain sedang hangat isu Covid-19 yang meletus dalam kalangan artis tempatan selepas penyanyi Alif Satar disahkan positif Ahad lalu, nun jauh di Amerika Syarikat, penyanyi The Weeknd meluahkan rasa tidak puas hati.

The Weeknd atau nama sebenarnya, Abel Makkonen Tesfaye meluahkan rasa hampa apabila album studionya, After Hours gagal mendapatkan sebarang pencalonan dalam acara berprestij, Grammy Awards yang bakal berlangsung Januari depan.

Ironi, After Hours merupakan antara album terlaris 2020 dan single berjudul Blinding Lights menjadi single terlaris dengan mencatat rekod sebagai antara lagu paling lama bertahan dalam carta BillBoard Hot 100 selain berada di tangga pertama untuk empat minggu dalam carta tersebut.

Berbalik kepada tujuan asal penulisan, penulis tertarik dengan single baharu hasil kolaborasi tiga penyanyi berbakat, Naim Daniel, Hael Husaini dan Haqiem Rusli berjudul Lara.
Ditulis sepenuhnya tiga penyanyi itu bersama MFMF, Lara boleh disifatkan sebagai antara lagu balada berkualiti sepanjang 2020 yang penuh badai derita.

GABUNGAN tiga penakluk pentas muzik, Naim, Hael dan Haqiem menerusi Lara boleh disifatkan memiliki korus ‘berhantu’ yang mudah melekat dalam kepala peminat.

Vokal hebat

Ramai menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai ‘tiga suara’ versi lelaki. Mungkin ada benarnya, namun penulis mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengangkat karya tersebut, sekali gus membandingkan dengan Beribu Sesalan nyanyian Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Menyentuh tentang komposisi muzik, sejujurnya Lara tidak lebih daripada sebuah karya balada biasa, namun memiliki korus ‘berhantu’ yang mudah melekat dalam kepala.

Apa yang membuatkan lagu tersebut kedengaran mewah barangkali kimia yang tercetus daripada lantunan hebat vokal Hael, Naim dan Haqiem.

Sungguh, paduan suara mereka teradun cemerlang dan saksama.

Sejujurnya, pendengar tidak boleh terlalu mengharapkan daripada material melibatkan gandingan lebih daripada dua penyanyi. Berkemungkinan, hanya dua daripada mereka, kedengaran bagus atau sebaliknya.

Bagaimanapun, teori tersebut tidak berlaku dalam Lara. Projek kolaboratif tersebut dijayakan seadil-adilnya. Naim dengan rintihan emosi vokalnya yang tersendiri, Hael tersulam lenggok R&B dan Haqiem paling menyerlah.

BERITA BERKAITAN