fbpx

Datuk antara 15 ditahan bergaduh di pub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman kejadian yang tular di laman media sosial.

Oleh NUR HUDA MUSA

PETALING JAYA – Seramai 15 individu ditahan termasuk seorang lelaki berpangkat Datuk selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai kejadian pukul 11.20 malam.

“Pemilik pub berkenaan hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling memaklumkan menerima panggilan daripada pekerjanya yang memberitahu berlaku pergaduhan di premis itu.

“Pengadu memaklumkan premis itu telah didatangi sekumpulan individu sebelum membuat kacau dan merosakkan premis tersebut. Akibat kekecohan itu, dua orang pekerja turut dipukul oleh kumpulan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan pergaduhan itu, pemilik premis mengalami kerugian sebanyak RM1,000.

Anuar berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, kejadian berlaku ketika 15 lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun masuk ke dalam pub dan memulakan pergaduhan.

“Sekumpulan lelaki ini juga dilihat telah memukul tiga orang lelaki sehingga mangsa mendapat kecederaan ringan pada muka.

“Difahamkan, kejadian berpunca daripada kekecohan yang tercetus selepas mereka telah datang ke tempat kejadian kerana hendak minum tetapi dimaklumkan tempat telah penuh,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa dadah jenis Ekstasi, syabu dan Erimin 5.

“Semua suspek direman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Selain itu, semakan lanjut mendapati, lesen perniagaan di tempat kejadian menggunakan lesen restoran dan bar yang telah tamat tempoh sejak dari 3 Mei 2019,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran berserta rakaman CCTV berdurasi dua minit 24 saat menunjukkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki tular di media sosial hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI