fbpx

KPM agih peruntukan ikut formula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengagihkan peruntukan melibatkan penyelenggaraan mengikut formula dengan mengambil kira bilangan serta kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.

Menterinya, Dr. Radzi Jidin berkata, formula itu dirangka bagi memastikan pengagihan dapat dibuat lebih menyeluruh dengan peruntukan sebanyak RM620 juta khusus untuk menyelenggara sekolah di bawah pengendalian KPM di seluruh negara.

“Semasa sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, KPM telah memohon supaya diberi tanggungjawab untuk menentukan agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah pengendalian KPM.

“Ini bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira bilangan dan jenis sekolah,” katanya ketika memberi taklimat peruntukan belanjawan 2021 di sini hari ini.

Radzi berkata, terdapat 10,223 sekolah di bawah pengendalian KPM yang terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan.

Ia meliputi jenis sekolah bagi kedua-dua kategori iaitu Sekolah Kebangsaan (SK); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); Sekolah Mubaligh; Sekolah Conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Jelasnya, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

“Sementara RM74.07 juta bagi SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan; SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta; serta Sekolah Mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM20.94 juta.

“Selain itu, Sekolah Conforming kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebanyak RM12.23 juta,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI